POLIS sedang menyiasat berhubung dakwaan seorang ahli politik bergelar Datuk mencabul seorang wanita.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak mengesahkan laporan polis dibuat pada 16 Mac lalu dan kes tersebut dalam siasatan serta akan mengesan saksi yang terlibat.
Katanya, polis menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, lapor Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian yang memetik sumber menyebut ahli politik terbabit bersama isterinya dipercayai bermalam di rumah mangsa dan suaminya di Taman Melawati antara Julai hingga 15 Ogos 2020.
Suami mangsa dikatakan kenalan kepada isteri Datuk tersebut.
“Kejadian berlaku antara jam 1 hingga 5 pagi. Mangsa tidur di bilik bersebelahan bilik suspek. Dia kemudiannya tersedar selepas dirinya dicium dan dicabul.
“Pada mulanya mangsa menyangkakan perbuatan itu dilakukan oleh suaminya namun mangsa terkejut apabila mendapati ia dilakukan suspek,” katanya.
Menurutnya, mangsa pada awalnya tidak membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan diri dan suami memandangkan suspek mempunyai pistol dan sikap panas baran.
Selain itu, mangsa dikatakan mempunyai hutang RM200,000 dengan suspek bagi urusan perniagaan. – Malaysiapost

