Inspektor jual semula dadah rampasan ditahan

0
1

POLIS Johor menahan seorang pegawai polis berpangkat Inspektor kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket dadah untuk pasaran negara jiran.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayoh Khan Mydin Pitchay berkata tangkapan terhadap suspek berusia 31 tahun itu dibuat hasil risikan dan siasatan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, 16 Mac lalu.

Katanya, suspek ditahan mengikut Seksyen 31 (1) Akta Dadah Berbahaya LLPK 1985 (Langkah-Langkah Pencegahan Khas).

“Siasatan lanjut mendedahkan suspek menjual semula rampasan dadah pihak polis kepada sindiket dadah untuk tujuan peribadi.

“Polis juga menyita sebuah Perodua Alza dan wang tunai RM1,200. Jika disabitkan kesalahan suspek akan ditahan di pusat pemulihan akhlak (PPA) selama dua tahun dan perintah sekatan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Dalam operasi berasingan, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Muar menahan dua anggota polis kerana melakukan pemerasan pada 18 Mac lalu.

Ayob Khan berkata, sub inspektor dan koperal berumur 59 dan 35 tahun itu ditahan kerana memeras seorang individu yang ditangkap kerana memiliki syabu di kawasan Parit Jawa, Muar.

“Bagi melindungi kegiatan dadah tersebut, kedua-dua anggota polis telah meminta RM3,000 sebagai wang perlindungan. Suspek telah terima RM2,000 dan tambahan RM800 secara tunai.

“Kedua-dua suspek direman selama dua hari mulai 19 Mac dan telah dijamin polis,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here