Nurul Huda Abhar
JIKA sebelum ini Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah acap kali dilihat pada sidang media khas Covid-19, tetapi hari ini kemunculan beliau sedikit berlainan dengan berbaju Melayu lengkap di majlis pernikahan anaknya.

Menerusi hantaran di laman Facebook personaliti televisyen, Fedtri Yahya, beliau berkongsi gambar semasa mengacarakan majlis pernikahan anakanda Dr Noor Hisham.
“Alhamdulillah selesai mengacarakan resepsi pernikahan anakanda kepada Tan Sri Dr Noor Hisham dan Puan Seri Suwaid.
“Afiqah dan Haziim.
“Hanya 30 peratus kapasiti dewan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang rapi namun tidak menghalang ia berlangsung tenang dan tertib,” tulisnya di hantaran tersebut hari ini.
Menurut Fedtri, apa yang lebih menarik semasa majlis pernikahan berlangsung adalah bapa pengantin juga menjadi tumpuan tetamu yang datang.
“Selain pengantin, bapa pengantin pasti menjadi tumpuan,” ujarnya.
Beberapa perkongsian foto Fedtri bersama Dr Noor Hisham, berpakaian baju Melayu berwarna biru pastel yang tersenyum bahagia selesai majlis pernikahan anaknya.
Hantaran tersebut dihujani dengan ucapan tahniah daripada netizen dan rata-rata memuji majlis tersebut kelihatan indah dan sempurna biarpun berlangsung dengan jumlah tetamu yang tidak begitu ramai. – Malaysiapost

