Penonton di stadium: Isu tiket perlu diberi perhatian

0
1

Muhammad Apendy Issahak

PENGUMUMAN kerajaan mengenai kebenaran bagi penonton memasuki stadium atau veneu kejohanan sukan seperti Liga Malaysia berkuatkuasa 1 April ini disambut baik pelbagai pihak terutama kelab penyokong bola sepak.

Namun, timbul persoalan bagaimana pembahagian tiket akan dilakukan kerana sudah pasti ramai penyokong yang ingin merebut peluang hadir ke stadium selepas sekian lama tidak dapat melakukannya susulan pandemik Covid-19.

Presiden Selangor Soccer Fan Club (SSFC), Mohamed Haniff Rana Manzoor, berharap perkara itu diberi perhatian kerana sudah pasti akan menimbulkan pertikaian kelak.

“Keputusan kerajaan membenarkan penonton memasuki stadium dalam jumlah tertentu memang disambut baik kerana kami sudah terlalu merindui suasana di dalam stadium.

“Harap semua penyokong ambil peluang ini dan buktikan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan kerana itu paling penting dan supaya lebih ramai akan dapat ke stadium kelak.

“Bagaimanapun soal pengagihan atau jualan tiket yang terhad juga perlu diberi perhatian,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost hari ini.

Menurutnya, jumlah tiket sebanyak 2,000 di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan 8,000 di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sudah pasti tidak mencukupi serta menjadi rebutan penyokong.

“Pengurusan jualan tiket secara online pasti akan menjadi rebutan dan SSFC harap bagi pengurusan Selangor FC khususnya supaya dapat memberi perhatian perkara ini dengan membuat ketetapan yang jelas.

“Kami harap pada peringkat awal ini, jualan tiket diberi keutamaan kepada pemegang pas bermusim kerana mereka layak selepas sekian lama arena liga bola sepak negara terhenti,” katanya.

Sementara itu, bagi Presiden Perak Die Hard Fans, Roslan Mat Baharom, pula berpendapat mana-mana penyokong yang cepat mendapatkan tiket mereka layak menonton di stadium.

“Sistem siapa cepat dia dapat lebih sesuai, namun kepada yang memiliki pas bermusim mungkin boleh beri keutamaan tetapi dalam jumlah yang terhad kerana perlu adil kepada penyokong setia yang tidak mampu membeli pas bermusim.

“Apapun SOP paling penting dan semua penyokong perlu rebut peluang diberi kerajaan ini dalam merancakan kembali arena bola sepak negara yang suram tanpa kehadiran ‘pemain ke-12’ di stadium,” katanya.

Semalam Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, memaklumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju membenarkan kehadiran penonton ke stadium atau venue bagi kejohanan sukan seperti Liga Malaysia berkuatkuasa 1 April ini.

Kebenaran itu mestilah mematuhi syarat ditetapkan iaitu 10 peratus kapasiti atau 2,000 penonton di kawasan PKPB, manakala di kawasan PKPP pula adalah 25 peratus kapasiti atau 8,000 penonton dengan kedua-duanya membabitkan Kawalan penyeliaan sepanjang masa. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/03/18/stadium-tidak-sunyi-lagi-mkn-benarkan-kehadiran-penyokong/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here