GARA-GARA teruja untuk menikmati Nasi Ayam Chee Meng, Datuk Seri Najib Razak terlupa untuk ‘check-in’ aplikasi MySejahtera di restoran itu, sekali gus telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Insiden terlupa itu telah mencetuskan kritikan netizen yang menyaksikannya menerusi siaran secara langsung di Facebook milik bekas Perdana Menteri itu.
Bagaimanapun, menerusi satu hantaran Facebook, Najib menerima kritikan itu dengan hati terbuka dan mengaku kesilapan akibat kelalaiannya yang terlupa.
“Saya menerima baik kritikan dan pandangan. Ya benar. Saya makan di Kedai Nasi Ayam Chee Meng. Kedai ini popular di KL. Ramai yang beragama Islam makan di sini juga.
“Seperkara lagi ialah mengenai “check-in”. Aturan dibuat dan saya dibawa masuk ke kedai terus setibanya di sana. Saya mengaku kesilapan saya pada kali ini tidak membuat check-in sendiri walaupun pegawai-pegawai saya telah berbuat demikian.
“Kebiasaannya, saya mematuhi segala SOP yang telah dikuatkuasakan dalam aktiviti atau pergerakan saya. Tidak mengapa,” katanya.
Berpegang kepada prinsip menolak amalan dua darjat, Ahli Parlimen Pekan itu telah meminta pihak berkuasa untuk mengeluarkan saman terhadapnya.
Malah, Najib menyindir tindakannya itu dapat membezakan dirinya dengan ahli-ahli politik lain yang gemar berselindung di sebalik amalan ‘double standard’.
“Saya minta pihak berkuasa keluarkan saman terhadap saya atas kesilapan tidak sengaja ini.
“Kompaun untuk tidak scan MySejahtera diumum sebagai RM1,500 dua hari lalu oleh Menteri PN. Saya bayar sebelum tempoh 7 hari untuk dapat early bird diskaun 50% iaitu denda RM750.
“Saya akan membayar saman atas kesilapan saya ini secara sukarela. Tidak ada double standards dalam istilah saya.
“Orang lain, parti lain, menteri-menteri saya tak tahu lah. Mereka ada dua darjat itu hal mereka. Saya tidak mahu ada dua darjat bagi kes saya,” sindirnya.
Tinjauan di ruangan komen, rata-rata netizen memuji dengan sikap Najib yang terbuka untuk mengaku kesilapannya.
Malah, ada ramai yang mendoakan semoga Najib tidak lagi terlupa untuk melanggar SOP lagi yang ditetapkan MKN. -Malaysiapost

