Jambatan gantung runtuh, pengunjung terhumban ke dalam sungai

0
2

LEBIH 10 pengunjung yang sedang merakam gambar di jambatan gantung di Lata Keding, Jeli, terhumban ke dalam sungai apabila jambatan yang dalam pembinaan itu tiba-tiba runtuh.

Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Ahmad Arifin berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu dan bergegas ke lokasi peranginan milik persendirian itu.

Katanya, kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari tadi apabila jambatan sepanjang 40 meter itu dipercayai runtuh akibat gagal menampung kapasiti pengunjung yang berlebihan

“Mengikut maklumat yang diterima, kira-kira 10 pengunjung sedang berada di atas jambatan gantung setinggi 4.5 meter.

“Tiba-tiba jambatan yang sedang dalam pembinaan itu runtuh menyebabkan semua mereka terjatuh ke dalam anak sungai dan binaan itu juga turut terkena pengunjung lain yang sedang mandi.

“Notis mengenai pemberitahuan bahawa jambatan itu sedang dalam pembinaan sudah ditampal. Namun, ada juga pengunjung yang tidak mengendahkannya mungkin disebabkan teruja dengan kewujudan jambatan gantung itu,” katanya yang dipetik dari Facebook

Ahmad berkata, mangsa cedera telah dibawa ke Hospital Jeli untuk rawatan lanjut dan tiada kehilangan nyawa dilaporkan. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here