Lelaki didakwa bunuh Pengurus IKRAM

0
1

SEORANG lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Kajang, hari ini atas tuduhan membunuh Pengurus Jabatan Advokasi Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Nik Khatijah Nik Mud, dua minggu lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Hasbullah Ismail, 56, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Syahrul Sazli Md Sain berikutan kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga pengurus di IKRAM didakwa membunuh Nik Khatijah, 32, di sebuah rumah di Taman Bangi Jalan Reko Kajang, antara jam 11 malam pada 5 Mac hingga jam 3 pagi pada 6 Mac lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, lapor Berita Harian.

Mahkamah juga menetapkan 16 April ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan berkaitan kes.

Media sebelum ini melaporkan, mayat seorang wanita ditemui dengan kesan jerut pada lehernya di sebuah rumah di Taman Bangi, Jalan Reko, 8 Mac lalu.

Hasil pemeriksaan awal polis pada mayat terdapat kesan jerut di leher dan dipercayai meninggal dunia kira-kira 24 jam sebelum ditemukan.

Selang beberapa jam kemudian, polis menahan seorang lelaki berusia 57 tahun di sekitar Kajang sekitar jam 8.45 malam bagi membantu siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat dilaporkan mengesahkan mangsa adalah individu sama dilaporkan hilang pada 6 Mac lalu.

Susulan kehilangan Nik Khatijah, rakan setugas dilaporkan pergi ke rumah sewa mangsa sebelum menemui mayat mangsa dengan kesan jerutan di leher dipercayai dijerut menggunakan kabel penyambung elektrik.

Kereta jenis Nissan Almera warna hitam milik mangsa turut ditemui tidak jauh dari kawasan parkir di sebuah pasar raya di Jalan Reko, Kajang. -Malaysiapost

kredit foto: Kosmo

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/03/08/pengurus-ikram-dipercayai-dibunuh/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here