Video perkauman: MCA akan buat laporan polis

0
2
MCA deputy president Datuk Seri Dr Wee Ka Siong

PRESIDEN MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong akan membuat laporan polis berhubung penyebaran video berbaur perkauman dan berita palsu yang bertujuan memburukan partinya dan kerajaan.

Beliau berkata, laporan polis itu bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap individu yang menyebarkan berita palsu berkenaan, kononnya hukuman bagi pemandu mabuk sengaja diberatkan tahun lalu adalah khusus untuk kaum India.

“Memang video itu berbaur perkauman dan  merupakan berita tidak benar. 

“Saya akan mengarahkan pegawai saya untuk membuat laporan polis bagi menyiasat orang yang tidak bertanggungjawab serta melakukan perbuatan keji ini, ” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ka Siong berkata, pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) dibuat adalah bagi meningkatkan hukuman terhadap mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah dan memandu secara merbahaya.

“Maka, apa yang disebutkan itu adalah tohmahan yang dilihat bertujuan merosakkan nama kerajaan, parti MCA , BN dan saya sendiri,” katanya.

Difahamkan, video berdurasi 2 minit 54 saat itu mendakwa bahawa hukuman bagi pemandu mabuk alkohol sengaja diberatkan tahun lalu untuk mensasarkan kaum India sebagai mangsa.

Video itu turut memaklumkan bahawa ia tindakan berat sebelah kerana hukuman bagi pemandu di bawah pengaruh dadah pula tidak diberatkan.

Mengulas isu sama, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, akta itu dipinda bukan sahaja untuk memberi hukuman berat kepada pemandu mabuk, tetapi juga kepada pemandu di bawah pengaruh dadah.

Justeru, Najib menasihati MCA untuk membuat laporan polis terhadap propaganda perkauman yang didakwa berniat jahat itu.

Julai lalu, Ka Siong yang juga Menteri Pengangkutan mencadangkan hukuman dalam pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987  akan lebih tegas dan diasingkan mengikut kesalahan sama ada memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah mahupun secara melulu.

Katanya, pindaan membabitkan Seksyen 41 hingga 45 dengan hukuman penjara dicadangkan sebagai mandatori.

“Seksyen 44 kalau sekarang kesalahan memandu mabuk dan dadah, tiada perbezaan, tapi kita cadangkan supaya dibezakan hukumannya dan ia lebih berat lagi jika bawa maut.

“Kadar penjara maksimum yang sebelum ini 10 tahun akan ditingkatkan ke 15 tahun untuk kesalahan pertama dan 20 tahun jika kesalahan berulang,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here