Sultan Selangor gembira 90 peratus barisan hadapan terima vaksin Covid-19

0
1

Nurul Huda Abhar

SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa sukacita apabila lebih 90 peratus petugas barisan hadapan di hospital kerajaan negeri itu telah menerima suntikan vaksin Covid-19.

Istana Alam Shah dalam satu kenyataan melalui Facebook Selangor Royal Office, berkata petugas kesihatan tersebut merangkumi doktor, jururawat, pemandu ambulan, kakitangan sokongan perubatan dan kakitangan hospital yang terbabit secara langsung merawat pesakit yang dijangkiti Covid-19.

“Baginda juga turut difahamkan bahawa lebih daripada 50 peratus petugas-petugas barisan hadapan di hospital-hospital swasta di negeri Selangor juga telah menerima suntikan vaksin Covid-19 masing-masing dan dijangkakan kesemua mereka akan menerima vaksin menjelang akhir bulan Mac ini.

“Baginda sentiasa mendapatkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa mengenai data-data berkaitan kes-kes baharu Covid-19 dan juga statistik penerimaan vaksin Covid-19 daripada Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, baginda juga memuji petugas barisan hadapan khususnya di hospital-hospital negeri Selangor yang telah melaksanakan tanggungjawab dengan baik sehingga kini.

Sultan Selangor juga menzahirkan rasa gembira dengan perkembangan terbaharu itu dan berharap selepas menerima suktikan vaksin Covid-19, petugas barisan hadapan akan dapat berkhidmat dengan lebih tenang dan selamat tanpa tekanan.

“Baginda menasihati rakyat negeri Selangor yang layak untuk menerima vaksin agar mendaftar dengan segera melalui saluran yang telah ditetapkan bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 ini.

“Baginda mengingatkan rakyat agar jangan lalai meskipun telah mendapat suntikan vaksin dan terus mematuhi amalan norma baharu serta SOP yang ditetapkan seperti menjaga kebersihan diri, memakai pelitup muka dan mengekalkan penjarakan fizikal, demi mengawal wabak Covid-19 ini daripada terus merebak,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/03/18/lebih-360000-terima-dos-pertama-vaksin-covid-19/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here