POLIS membuka Kertas Enkuiri Polis (KEP) untuk memulakan siasatan dakwaan beberapa menteri yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan merentas sempadan negeri untuk menghadiri majlis perkahwinan.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Sepang, Wan Kamarul Azran Wan Yusof hari ini.
Kamarul berkata, Polis Sepang membuka siasatan susulan laporan polis daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) semalam, mengenai perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 16 Mac.
Bagaimanapun menurut Kamarul, siasatan itu berada bawah seliaan polis Sepang kerana Pengasas Bersama Jawatankuasa Penaja Muda, Mutalib Uthman menyebut dalam laporan bahawa dia mengetahui mengenai tuduhan itu ketika dia berada di Sepang.
Awal minggu ini, tular beberapa keping gambar di media sosial beberapa menteri menghadiri majlis perkahwinan anak Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias di Seremban pada 14 Mac lalu.
Perkara itu telah menimbulkan rasa tidak puas hati netizen dan menyifatkan pihak berkuasa memberi layanan dua darjat antara rakyat dan kenamaan. -Malaysiapost

