SEORANG pesakit lelaki berusia 55 tahun ditahan polis kerana didakwa meraba tangan seorang jururawat wanita di wad Covid-19 di Hospital Kepala Batas.
Difahamkan, lelaki itu yang merupakan pesakit Covid-19 ditahan pada Isnin lalu sejurus dia disahkan sembuh.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata kejadian itu berlaku pada Isnin minggu lalu kira-kira jam 11.30 pagi semasa mangsa melakukan prosedur pemeriksaan paras gula dalam darah pesakit itu.
“Selepas mangsa selesai prosedur tersebut, jarinya dipegang dan diusap oleh pesakit.
“Pesakit telah menanyakan pengadu dengan nada manja, ‘sedap tak?’ sebelum mangsa menarik dengan kuat sehingga dapat melepaskan tangannya,” katanya seperti dilapor Kosmo, hari ini.
Noorzainy berkata, suspek bakal dituduh di Mahkamah Butterworth, esok mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.-Malaysiapost

