Neitzel mahu pemain Selangor FC kekal momentum

0
1

“BUKAN hanya malam ini, kami perlu beraksi seperti ini pada setiap perlawanan,” kata jurulatih Selangor FC, Karsten Neitzel selepas skuad bimbingannya mencalarkan rekod cemerlang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super malam tadi.

Dalam aksi menarik di Stadium Sultan Ibrahim, rekod 100 peratus kemenangan JDT berakhir apabila Gergasi Merah memaksa juara Liga Super tujuh tahun berturut-turut itu berpuas hati dengan keputusan seri 1-1.

Susulan keputusan itu, Neitzel melahirkan rasa puas hati dengan persembahan ditampilkan barisan pemainnya dan mahu mereka kekal konsisten dalam aksi seterusnya.

“Pemain menampilkan aksi yang baik. Mereka memberi cabaran hebat, mencipta peluang selain memberikan tekanan kepada pihak lawan.

“Apa yang penting bagi saya ialah selepas perlawanan, kami memerlukan mentaliti, disiplin dan corak permainan seperti ini pada setiap perlawanan yang akan dihadapi. Bukan hanya malam ini,” katanya.

Selangor FC terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah menerusi jaringan minit ketujuh oleh Ifedayo Omosuyi sebelum Bergson da Silva menjaringkan gol penyamaan lima minit kemudian.

JDT terlepas dua peluang keemasan untuk mendahului apabila mensia-siakan dua sepakan penalti.

Gonzalo Cabrera menyepak tinggi melewati palang gol pada babak pertama, manakala Bergson menyaksikan tendangannya pada penghujung perlawanan ditepis penjaga gol Selangor FC, Khairul Azhan.

Keputusan itu tidak mengubah kedudukan JDT di tangga teratas yang memiliki 10 mata hasil empat perlawanan, susulan pencabar terdekat Terengganu FC turut seri dengan Melaka United.

Selangor pula menghuni tangga kelima apabila mengutip lima mata hasil satu menang, dua seri serta satu kekalahan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here