UMNO mengenalpasti dua ahlinya yang didakwa sering membocorkan segala maklumat setiap kali mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti itu kepada pihak tidak bertanggungjawab.
Perkara tersebut dimaklumkan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sewaktu berucap di hadapan Ketua Bahagian, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri peringkat Perhubungan Negeri Melaka di Villa D’Acqua Homestay, Masjid Tanah, Isnin lalu.
Difahamkan, Ahmad Zahid bersama Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan mengadakan lawatan kerja ke negeri itu bagi meninjau persiapan Barisan Nasional (BN) negeri ini dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Memetik laporan Utusan Malaysia, menurut sumber, bekas Timbalan Perdana Menteri itu jelas berang dengan sikap dua Ahli MT berkenaan kerana sanggup menyalurkan semua maklumat dan butiran setiap kali mesyuarat.
“Ahmad Zahid maklumkan dua MT iaitu masing-masing lelaki dan wanita dikenal pasti hasil siasatan dilakukan.
“Umno tidak lagi boleh bertolak ansur dengan sikap ahli yang cuba menghancurkan parti. Presiden Umno akan umumkan nama mereka tidak lama lagi serta tindakan yang mungkin diambil iaitu memecat keahlian mereka daripada Umno,” kata sumber itu yang hadir dalam perjumpaan terbabit.
Bagaimanapun, kata sumber itu lagi, Ahmad Zahid tidak mengumumkan nama kedua-dua mereka dan dari bahagian mana.
Dalam ucapan itu juga, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut meminta seluruh bahagian di negeri ini melakukan gerak kerja yang lebih tersusun untuk memenangi hati rakyat, bagi meyakinkan pengundi untuk memilih Umno dan BN.
“Presiden Umno tidak mahu ahli parti yang hanya pandai berpidato tetapi hasil gerak kerja di peringkat bahagian dan cawangan tidak dilaksanakan dengan sempurna,” katanya. -Malaysiapost

