MAJLIS Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dalam usaha menambahbaik khidmat dan bantuan kepada umat Islam menerusi program Matawang Sosial MAIWP (MAIWP Social Currency).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata perkara itu dalam pertemuan rutin beliau bersama Pengerusi MAIWP, Datuk Dr Mohd Daud Bakar.
“MAIWPSC ini tidak mempunyai nilai kewangan tetapi ia memberi peluang kepada masyarakat untuk tampil ke hadapan untuk menyumbang kepada komuniti.
“Sumbangan mereka akan dinilai dan diganjari dalam bentuk “matawang sosial” yang boleh digunakan suatu masa nanti untuk mendapatkan perkhidmatan di institusi di bawah MAIWP.
“Ini adalah salah satu usaha menggalakkan masyarakat untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti kebajikan dan dakwah,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Zulkifli berkata sebagai sebuah agensi di bawah tanggungjawabnya, MAIWP sentiasa berusaha untuk memberikan khidmat yang terbaik kepada umat Islam di Wilayah Persekutuan.
“Saya mengharapkan agar MAIWP terus menjadi peneraju dalam kerja-kerja kebajikan yang inovatif berpaksikan zakat. Terima kasih kepada semua pembayar zakat. Kerana anda, #KamiAda,” katanya. – Malaysiapost

