JPJ saman instafamous tunjuk aksi tunggang RX-Z

0
1

PADAH merakam aksi menunggang RX-Z di media sosial baru-baru ini, seorang instafamous disaman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana melanggar peraturan jalan raya.

Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin, berkata pihaknya sudah memanggil wanita berkenaan dan dia mengakui kesilapannya sebelum menjelaskan denda bagi dua kesalahan iaitu tidak memakai topi keledar dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi sebanyak RM370.

“Sekarang ramai rakam video menaiki kenderaan sebagai kandungan di media sosial.

“Tapi kalau langgar undang-undang, ia jadi bukti kepada kami untuk ambil tindakan,” katanya.

Video berdurasi 14 saat itu memaparkan wanita berkenaan yang berpakaian baju kebaya merah mempamerkan kecekapannya menunggang RX-Z di Kampung Bukit Merah, Padang Pulut, Dungun.

Zulkarnain berkata, JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturan jalan raya.

“Jika kami menerima laporan bergambar atau video berkaitan kesalahan jalan raya seperti tidak memakai topi keledar atau memaparkan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi ditetapkan, kami akan menjalankan siasatan.

“Walaupun video dan bukti itu daripada media sosial peribadi, tindakan akan diambil ke atas pemilik kenderaan.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda RM2,000 bagi setiap satu kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mempunyai kaedah tersendiri untuk memantau kesalahan dilakukan pengguna jalan raya di media sosial.

“Jika ada gambar atau video dan bukti yang jelas, kami akan mengambil tindakan oleh itu pengguna jalan raya perlu sentiasa peka dan mematuhi undang-undang,” katanya. -Malaysiapost

Foto Kredit: Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here