5 MP pembangkang sanggah Anwar, tolak kerjasama dengan kleptokrat

0
1
anwar ibrahim

LIMA parti pembangkang hari ini meminta Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengukuhkan blok besar pembangkang dan menolak sebarang kerjasama dengan kleptokrat.

Gesaan itu hadir ketika Presiden PKR semalam mengesahkan wujud rundingan secara tidak rasmi antara parti tersebut dan Umno dalam satu naratif politik baharu.

Menerusi kenyataan hari ini, lima pemimpin parti pembangkang tersebut menyatakan sebarang kerjasama dengan mana-mana pihak perlu dibina berdasarkan asas menolak sebarang kerjasama dengan kleptokrat.

“Kita perlu menggembleng usaha dan menumpukan kekuatan bersama sebagai satu suara untuk mengangkat agenda rakyat demi kelangsungan hidup semua,” katanya.

Kenyataan itu dibuat bersama Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub; Ketua Wira Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Mohd Azis Jamman; Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP, Liew Chin Tong; Pengasas bersama
Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta Baru Bian dari Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Menurut lima Ahli Parlimen itu, Malaysia telah melangkaui setahun kegagalan pentadbiran Perikatan Nasional (PN) yang berdepan kecelaruan pentadbiran dan pengurusan ekonomi negara ketika negara dilanda pandemik Covid-19 yang berpanjangan.

Sehubungan itu, menurut mereka blok pembangkang perlu mengukuhkan kerjasama dan kesepakatan sesama parti dan Ahli Parlimen bagi membawa satu agenda bersama untuk memulihkan Malaysia.

“Sepanjang negara melalui krisis tiga serangkai – ekonomi, kesihatan dan politik – kepimpinan PN tidak menonjolkan arah tuju dan rancangan yang jelas.

“Kelompongan ini perlu dimanfaatkan oleh blok pembangkang dengan mengetengahkan satu gagasan bersama berlandaskan agenda peduli rakyat.

“Tatkala, PN gagal mezahirkan kemampuan dan iltizam, blok pembangkang perlu bersama menunjukkan suri tauladan kepemimpinan dengan menyusun dasar dan inisiatif yang membantu rakyat kebanyakan,” katanya. – Malaysiapost


Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/03/16/pkr-umno-hanya-berbincang-bukan-kerjasama-anwar/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here