Pengguna tidak perlu membuat pendaftaran berkali-kali Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) menerusi MySejahtera, kerana aplikasi sememangnya telah merekodkan ketika pertama kali dilakukan.
Perkara ini disahkan oleh Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang berkata, MySejahtera akan menunjukkan rekod yang pertama kali didaftarkan pengguna.
“MySejahtera sememangnya mempunyai rekod ketika pendaftaran vaksinasi ketika kali pertama dibuat, justeru pengguna sebenarnya tidak perlu membuat pendaftaran berulang.
“Ini terbukti apabila user interface baharu yang dikeluarkan pada Sabtu lalu telah menunjukkan tarikh pengguna membuat pendaftaran pada kali pertama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan Khairy itu adalah respon terhadap persoalan yang ditimbulkan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai PICK semalam.
Ahli Parlimen Rembau itu juga menegaskan, kerajaan serius dalam memberi kesedaran kepada golongan aktivaksin supaya tidak gusar terhadap PICK.
“Manakala bagi program-program kesedaran bagi melawan kumpulan anti-vaksin serta memberi keyakinan kepada orang ramai, ini sememangnya telah banyak kali dilakukan bukan sahaja oleh saya malah pihak lain seperti Kementerian Kesihatan (KKM), Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Siri-siri penerangan telah dilaksanakan di pelbagai platform sama ada di media massa, media cetak mahupun media sosial. Program bantuan outreach juga pada ketika ini sedang berjalan di seluruh negara bagi memberi kesedaran kepada orang ramai berkenaan kepentingan vaksin ini,” jelasnya.
Bagaimanapun Khairy menyangkal andaian Anwar bahawa kerajaan tidak memberi perhatian kepada vaksin yang dikeluarkan Rusia.
“Ketua Pembangkang juga membuat andaian bahawa kerajaan tidak memberi perhatian terhadap vaksin daripada negara Rusia iaitu Sputnik V.
“Ini tidak benar memandangkan vaksin itu sememangnya terdapat di dalam potfolio pembelian vaksin Covid-19 negara dan ketika ini sedang dalam penilaian Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi tujuan kelulusan dan pendaftaran.
“Ketua Pembangkang juga membangkitkan persoalan berkenaan penglibatan penyelidik tempatan dalam pembangunan vaksin. Suka saya maklumkan bahawa MOSTI telah membiayai R&D vaksin tempatan bagi penyakit Covid-19 menerusi MOSTI Combating COVID-19 Fund (MCCOF) kepada dua kumpulan penyelidik iaitu dari Universiti Malaya (UM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM),” katanya.
Namun pada masa sama, beliau mengakui Malaysia tidak mempunyai fasiliti lengkap pembuatan vaksin.
Justeru, beliau berkata dalam rundingan pembelian vaksin Covid-19 dengan beberapa pembekal, kerajaan telah memasukkan elemen nilai tambah bagi membolehkan Malaysia membangunkan kapasiti pembangunan vaksin dalam negara pada masa hadapan,” katanya.
Khairy juga mengucapkan terima kasih kepada Anwar kerana menyokong PICK dalam menyedia dan memastikan rakyat mendapat vaksin yang sesuai dan terbaik.
“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Ketua Pembangkang yang telah menyatakan komitmen pihak pembangkang untuk menyokong PICK ini.
“Sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini, PICK hanya akan berjaya sekiranya mendapat sokongan serta kerjasama oleh semua pihak menerusi pendekatan whole-of-society,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:

