JSPT saman warga PDRM di Bukit Aman

0
1

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan tindakan penguatkuasaan khususnya oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) tidak hanya kepada orang awam, tetapi secara menyeluruh termasuk terhadap warganya.  

Susulan itu juga, satu OP Khas (Pemeriksaan Kenderaan) diadakan pagi tadi secara mengejut di pintu masuk Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.  

JSPT melalui satu hantaran di laman Facebooknya memaklumkan operasi itu melibatkan 15 pegawai dan 35 anggota, selain disertai lima pegawai Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) serta seorang pegawai dan empat anggota dari Jabatan Alam Sekitar (JAS). 

“Objektif utama operasi pemeriksaan mengejut di pintu masuk Ibu Pejabat Polis Bukit Aman adalah untuk memeriksa kenderaan digunakan warga kerja PDRM yang tidak mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya, terutama mereka yang mengubahsuai kenderaan dan menggunakan nombor pendaftaran ‘fancy’.  

“Sebanyak 280 kenderaan diperiksa di mana hasil operasi ini mengeluarkan 146 saman atas pelbagai kesalahan seperti nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi (fancy), tiada cermin sisi, tiada cukai jalan dan ubah suai ekzos,” katanya.  

Menurutnya, PDRM kekal tegas dalam memastikan pegawai dan anggotanya agar sentiasa patuh dan mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya supaya dapat menjadi teladan kepada masyarakat amnya. 

Semalam beberapa pegawai dan anggota polis serta kakitangan awam di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah disaman atas pelbagai kesalahan trafik dalam pemeriksaan mengejut.  

Pemeriksaan mengejut itu dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) serta Cawangan Khas di pintu masuk IPK Kedah.  

Polis Kedah dalam satu hantaran di laman Facebooknya memaklumkan antara pemeriksaan dilakukan adalah dokumen sulit, pemeriksaan kenderaan dan pas keselamatan. – Malaysiapost 

Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/03/15/polis-saman-polis/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here