
VETERAN Umno, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menyifatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebagai angkuh apabila berkuasa tanpa had.
Ia susulan isu kompaun RM10,000 yang dikenakan ke atas rakyat yang ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Dalam satu hantaran di Facebooknya, bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata kegagalan mengadakan sidang Parlimen menyebabkan ketiadaan semak dan imbang, sekali gus mewujudkan beberapa pelaksanaan undang-undang yang tidak mempedulikan nasib rakyat ketika ini.
“Apabila berkuasa tanpa had, tidak adanya sebarang semakan dan teguran, maka timbullah sifat keangkuhan dan tidak peduli.
“Sebab itu, kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam bertitah bahawa Parlimen boleh bersidang semasa darurat, jangan pula jawab dengan angkuh bahawa YDPA kena dengar nasihat Jemaah Menteri pula.
“Takiyuddin sudah angkuh dan buta hati kerana ada jawatan, tidak lagi peduli kesesuaian kompaun dengan hanya kerana melanggar SOP,” katanya hari ini.
Beliau turut berkongsi tangkap layar laporan berita berhubung kekeliruan dalam pelaksanaan kompaun RM10,000.
Justeru, Shahrir mendesak kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengembalikan hak Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat untuk bersuara di Dewan Rakyat dengan mengadakan sidang Parlimen.
“Kembali kepada asas kedudukan Jemaah Menteri itu sendiri. Ianya kedudukan kerana mandat rakyat dan cukup bilang di Dewan Rakyat.
“Agar kuasa tidak pula membawa kepada kezaliman!” katanya.
Semalam, Takiyuddin dilaporkan berkata kerajaan akan memperincikan kesalahan yang boleh dikenakan kompaun RM10,000 mengikut Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 bagi menangani kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat Covid-19 hari ini.
“Kita akan terus kekalkan ordinan kompaun RM10,000 kepada individu dan RM50,000 kepada syarikat tetapi kerajaan memberi jaminan untuk selesaikan pelaksanaannya termasuk pengeluaran saman kepada mereka yang melakukan kesalahan,” katanya. – Malaysiapost
