UMNO akan memastikan Perhimpunan Agungnya (PAU) yang bakal berlangsung hujung bulan ini berjalan lancar dengan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sambil menyindir DAP, Ketua Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan berkata parti itu tidak akan mencontohi Konvensyen DAP Perak yang bukan sahaja kecoh dengan pergaduhan, malah melanggar SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Minggu depan, 26 Mac, Persidangan Pergerakan Puteri Umno Malaysia sebelum Perhimpunan Agung Umno keesokannya.
“Hanya sekitar 50 orang sahaja berada dalam dewan. Ratusan perwakilan lain akan mengikutnya secara maya melalui teknologi Zoom.
“Maaflah kami tak boleh menjadi seperti DAP Perak sebagai penyumbang ekonomi negara sekiranya didenda 10K seorang. Itu pun kalau kerajaan berani ambil tindakan lah,” katanya.
Kekecohan Konvesyen DAP Perak semalam menimbulkan persoalan mengenai pematuhan SOP apabila ramai dilihat ingkar terutama membabitkan penjarakan sosial serta pemakaian pelitup muka.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata siasatan itu dibuat menjurus kepada kesalahan ingkar SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semasa kekecohan berlaku.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, konvensyen itu merupakan acara tertutup dan polis tidak dimaklumkan tentang penganjuran program berkenaan. – Malaysiapost

