LEBIH lima juta rakyat Malaysia sudah mendaftar bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) melalui tiga platform pendaftaran program terutama aplikasi MySejahtera.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin, berkata setakat semalam seramai 5,534114 orang sudah mendaftar melalui aplikasi MySejahtera untuk menerima vaksin.
Menurutnya, selain daripada itu 404, 399 individu lagi mendaftar melalui laman web dan pusat panggilan PICK.
“Daripada jumlah itu selepas dimurnikan jumlahnya susulan berlaku pertindihan kerana ada yang sudah mendaftar banyak kali sama ada di MySejahtera, laman web dan call centre lebih 200,000 orang adalah pendaftaran baru dan kita akan masukkan jumlah itu dalam sistem MySejahtera.
“Mengikut ratio pendaftaran kepada populasi sasaran sebanyak 22.8 peratus daripada penduduk yang disasarkan sudah mendaftar,” katanya dalam sidang media mingguan PICK hari ini.
Turut sama dalam sidang media itu adalah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.
Sementara itu, beliau berkata, bilangan temujanji yang dikeluarkan pada fasa pertama program itu adalah sebanyak 391,877 temujanji, manakala 301, 699 individu sudah divaksin.
“Jumlah dos yang kita sudah terima adalah 664,560 dos.
“Saya juga ingin maklumkan perkembangan terkini penerima an bekalan vaksin. Hari ini akan terima lagi 83,070 dos Pfizer-BioNTech dan kita juga akan terima hari ini 100,000 vaksin Sinovac,” katanya.
Khairy berkata, pada 22 Mac ini kerajaan akan menerima 124,020 dos vaksin Pfizer-BioNTech dan 100,000 dos vaksin Sinovac, manakala pada 29 Mac pula akan terima 125, 190 dos Pfizer-BioNTech.
“Pada 29 Mac itu secara kumulatif penghantaran dos Pfizer-BioNTech adalah 1.35 juta dos dan itu akan melengkapkan penghantaran suku tahun yang pertama,” katanya.
Beliau turut memaklumkan pada 18 Mac ini kerajaan akan memulakan pemberian vaksin Sinovac di Hospital Rembau.
“Pada jam 1.30 tengah hari kita akan mulakan vaksinasi menggunakan vaksin Sinovac di Hospital Rembau.
“Sayalah yang pertama akan menerima Sinovac,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/02/27/vaksin-sinovac-tiba-di-malaysia/

