PELETAKAN jawatan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar sebagai Naib Presiden dan ahli PKR serta-merta, semalam, tidak menjejaskan parti itu.
Pengerusi PKR Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata pihaknya sudah bermesyuarat dengan pimpinan PKR Cabang Kuala Langat semalam dan beberapa keputusan sudah dicapai.
Katanya, keputusan perbincangan itu akan dibawa pada mesyuarat jawatankuasa PKR Cabang Kuala Langat yang akan dipengerusikan Timbalan Pengerusi PKR Selangor, Hee Loy Sian hari ini.
“Sebelum 2008, kita pernah hilang Angkatan Muda Keadilan (AMK), Timbalan Presiden dan banyak lagi.
“Tetapi Alhamdulillah, parti terus kuat dan maju, malah ini resam dalam politik dan kita perlu melaluinya dengan sabar. Paling penting, parti kena tegas dan kukuhkan kerja kita,” katanya.
Sementara itu, Amirudin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor turut memaklumkan jawatankuasa parti itu pada peringkat Cabang Kuala Langat masih kukuh walaupun terpalit isu berkenaan.
“Setakat ini Cabang Kuala Langat masih kukuh dan kita akan umum beberapa keputusan yang sudah dicapai dalam masa terdekat,” katanya.
Semalam, Xavier mengumumkan keluar daripada PKR, sekali gus melepaskan jawatannya sebagai Naib Presiden parti itu.
Menurutnya, keputusan meninggalkan PKR kerana kecewa dengan tindakan pucuk pimpinan yang terlalu asyik membincangkan agenda Pilihanraya Umum, sepatutnya bukan menjadi keutamaan parti itu ketika ini.
Sementara itu, Xavier turut menyatakan pendiriannya sebagai Ahli Parlimen Bebas menerusi satu surat bertarikh 12 Mac 2021 kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan.
Dalam surat itu, Xavier memaklumkan beliau membuat keputusan menjadi Ahli Parlimen Bebas yang menyokong kerajaan, berkuat kuasa semalam. -Malaysiapost

