Tuduhan PH terhadap PN tidak berasas

0
1

TUDUHAN mengaitkan Perikatan Nasional (PN) menggunakan sogokan dan intimidasi untuk meraih sokongan Ahli Parlimen dari Pakatan Harapan (PH) adalah tidak berasas sama sekali.

Demikian kenyataan bersama oleh Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Ahli Parlimen Ampang ,Datuk Zuraida Kamaruddin, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah, Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Rashid Hasnon, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamarudin Jaffar, Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Dr Mansor Othman, Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Santhara Kumar, Ahli Parlimen Saratok, Datuk Ali Biju, Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin dan Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin.

Kesepuluh pemimpin mewakili PN itu berkata, ahli-ahli Parlimen berkenaan melakukan penilaian objektif dan menyedari bahawa Kerajaan PN telah mengambil tindakan yang bertanggungjawab dalam menangani wabak tersebut dengan menyalurkan sejumlah RM320 bilion untuk kepentingan rakyat dan mencerdaskan ekonomi.

“Tuduhan-tuduhan ini merupakan serangan terhadap integriti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis.

“Kami memandang serius tuduhan menghasut secara terang-terang ini yang boleh menjejaskan kredibiliti institusi penguatkuasaan dan meminta tindakan undang-undang segera terhadap mereka.

“Para pemimpin dan anggota PKR harus merenungkan bukan hanya keputusan terbaru yang diambil oleh ketiga-tiga anggota Parlimen itu, tetapi isu yang lebih serius mengapa begitu ramai pemimpin tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan anggota yang lama berkhidmat telah keluar parti,” kata mereka dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut kenyataan itu, PKR di bawah pimpinan dan kerangka sekarang, tidak lagi mampu memperjuangkan prinsip keadilan dan kesejahteraan bagi rakyat.

“PKR telah tercabut dari prinsip dan tidak lagi berada di landasan moral untuk memimpin.

“Biar pun pahit, tetapi hakikatnya adalah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim ditolak oleh sebahagian besar anggota partinya sendiri kerana PKR telah kehilangan idealisme dan tergelincir dari landasan perjuangan.

“Ini sangat malang kerana kita tahu bahawa ada pemimpin dan anggota PKR yang berpegang teguh pada prinsip dan idealisme disisihkan dan bahkan menjadi mangsa kuasa di tangan presiden,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, sepatutnya mereka perlu tabah dalam perjuangan untuk terus mencapai cita-cita murni, tetapi perakus dan pengkianat telah merampas agenda reformasi untuk kepentingan diri, keluarga dan kroni mereka.

“Sekarang adalah masanya untuk bertindak tegas. Marilah kita bersama-sama menggerakkan dan maju dengan PN di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan terus maju dalam kekuatan, perpaduan dan keyakinan untuk kesejahteraan dan kejayaan rakyat dan negara.

Sementara itu, kenyataan itu berkata, pengisytiharan oleh tiga Ahli Parlimen PKR sebagai wakil rakyat bebas untuk menyokong Kerajaan PN di bawah pimpinan Muhyiddin merupakan langkah berani dan senada dengan aspirasi rakyat yang mahukan sebuah kerajaan yang berfungsi sepenuhnya dan stabil .

“Kami sebulat suara mengalu-alukan anjakan politik yang dinamik dilakukan oleh YB Larry Sng (Julau), YB Steven Choong (Tebrau) dan YB Dato’ Dr. Xavier Jayakumar (Kuala Langat).

“Ini merupakan perkembangan progresif yang terbit dari keyakinan mereka terhadap pengendalian Kerajaan Perikatan Nasional menangani pandemi Covid-19 dan langkah-langkah proaktif, tegas dan tepat untuk melaksanakan usaha mencerdaskan ekonomi dan memastikan pemulihan yang berterusan.

“Keputusan mereka untuk meninggalkan PKR juga didorong oleh rasa kecewa yang mendalam terhadap kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membawa amalan politik pecah-belah, nepotisme dan kronisme hingga menjerumuskan parti itu ke jurang kehancuran,” katanya.

Mengulas lanjut, menurut kenyataan itu, Setiausaha Agong PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution, yang begitu keras memimpin serangan ganas terhadap ketiga-tiga anggota Parlimen itu, tidak memiliki kedudukan moral untuk menjuarai huj ah berhubung melompat parti.

“Beliau telah beberapa kali menjadi juara melompat dari Umno ke PKR, kemudian dari PKR ke PAS dan seterusnya, dari PAS kembali ke PKR.

“Berbanding dengan YB Datuk Dr. Xavier yang merupakan Naib Presiden PKR yang terpilih, kedudukan Saifuddin dalam parti adalah lemah kerana hanya sebagai seorang yang dilantik.

“Saifuddin tidak mempunyai legitimasi dan keabsahan dan kita fahami dia bersuara bagi pihak Anwar dalam situasi begini,” ujarnya.

Tegas ahli-ahli parlimen itu, sekiranya Saifuddin jujur dan ikhlas tentang kedaulatan undang-undang dan perjuangan melawan rasuah, mengapa beliau mendiamkan diritentang kes rasuah yang melibatkan seorang tokoh ternama kepimpinan PH yang tiba-tiba digugurkan tatkala perbicaraan sedang berjalan lancar.

“Suatu yang amat mengecewakan dan menggusarkan SPRM dan masyarakat awam,” perlinya. -Malaysiapost.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here