Siasatan kes berita palsu kini lebih cepat – Takiyuddin

0
1

PROSES siasatan bagi kes berita tidak benar berkaitan Covid-19 dan Proklamasi Darurat akan menjadi lebih cepat susulan pewartaan Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No.2) 2021, Jumaat lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata sebelum ini ada kes berkenaan yang mengambil masa beberapa bulan untuk disiasat secara prosedur biasa mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil masa panjang untuk menyiasat pemilik akaun media sosial dan sebagainya, banyak prosedur perlu diikut tapi dengan adanya ordinan ini, ia akan menjadi lebih cepat.

“Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah memaklumkan, sebelum ordinan ini dibuat pun hampir 300 kes (berita tidak benar) membabitkan aduan kepada polis dan SKMM, sebab itu kita kena cepat selesaikan kes seperti ini,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Beliau ditemui selepas menghadiri Program Malaysia Prihatin di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Anak Bukit, Alor Setar, hari ini.

Takiyuddin berkata, kerajaan membelanjakan berbilion ringgit untuk membawa masuk vaksin ke negara ini bagi mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan rakyat, namun ada pihak tertentu seperti kumpulan antivaksin cuba mengelirukan rakyat dengan menyebarkan berita tidak benar.

Katanya, tindakan menyebarkan berita palsu seperti kesan sampingan vaksin yang tidak berasas adalah antara yang boleh dikenakan tindakan mengikut ordinan berkenaan.

“Vaksin ini diluluskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan badan kesihatan dunia mengesahkan vaksin ini baik serta perlu diambil.

“Bagaimanapun, ada pula pihak mendakwa ada kesan sampingan dan sebagainya.

“Apabila sesuatu berita itu disahkan tidak benar, ia perlu diturunkan atau dipadamkan segera daripada mana-mana laman media sosial dan jika pemilik akaun enggan berbuat demikian, ia akan menjadi kesalahan,” katanya.

Sementara itu, mengenai tindakan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad, mewujudkan Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat bagi mengumpul petisyen supaya pengisytiharan ditamatkan, Takiyuddin berkata, kerajaan sudah menubuhkan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 di bawah Ordinan Darurat.

Katanya, hanya jawatankuasa itu mempunyai kuasa di bawah peruntukan undang-undang untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sama ada darurat wajar ditamatkan lebih awal atau pada tarikh ditetapkan iaitu 1 Ogos depan atau dilanjutkan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here