Ugutan politik, tindakan Xavier telah diduga PKR

0
1

TINDAKAN Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar mengumum dirinya keluar parti hari ini, telah diduga dan menapati ramalan Parti Keadilan Rakyat (PKR) selama ini.

Perkara itu diakui Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail yang mendakwa terdapat usaha Kerajaan Perikatan Nasional (PN) memberi tekanan kepada Ahli Parlimen pembangkang supaya beralih arah, sekali gus menyatakan sokongan kepada kerajaan.

“Keputusan yang diumum YB Datuk Dr Xavier Jayakumar pagi ini terjadi dengan latar belakang kenyataan saya beberapa minggu lepas bahawa wujudnya usaha tersusun oleh kerajaan minoriti untuk menarik sokongan ahli-ahli parlimen pembangkang dengan cara umpan dan ugutan menggunakan PDRM, LHDN dan SPRM.

“Dr Xavier baru-baru ini telah bertemu pimpinan KEADILAN memaklumkan bahawa pihak SPRM menjadikan beliau sasaran siasatan setelah SPRM sebelumnya menahan setiausaha politik, pembantu peribadi dan beberapa kenalan beliau berkait satu kes yang sedang berjalan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Saifuddin juga menjelaskan, bagaimana Xavier kemudiannya telah dihubungi seorang menteri kanan yang menyatakan beliau perlu menyokong PN atau bakal menghadapi akibat yang serius jika gagal berbuat demikian.

“Keadilan sebuah parti reform, pendirian kami amat jelas dalam menentang rasuah, salahguna kuasa dan pelanggaran undang-undang tanpa mengira pangkat dan kedudukan.

“Bagaimanapun, hal yang berlaku sekarang adalah, instrumen pemerintah termasuk SPRM sedang diperguna ahli politik kanan dalam pentadbiran Perikatan Nasional untuk mengalih sokongan Ahli Parlimen Pakatan Harapan dan pembangkang kepada Perikatan Nasional,” katanya.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu menyifatkannya sebagai satu bentuk salahguna kuasa dilakukan oleh Kerajaan PN.

“Amatlah jelas kerajaan minoriti hari ini berlapik dengan alasan darurat dan menggantung Parlimen sambil pada masa sama berusaha mendapatkan sokongan lebih ramai Ahli Parlimen dengan cara menggunakan agensi-agensi tertentu melalui taktik umpan habuan, tekanan dan ugutan.

“Sebagai seorang yang lama mengenali Dr Xavier Jeyakumar, tindakan dan alasan-alasan beliau dalam kenyataan hari ini menimbulkan pelbagai tanda tanya. Namun yang membezakan reformis tulin dengan yang lain ialah tahan diuji pada masa senang dan sukar,” katanya.

Bulan lalu, Pegawai kanan Xavier yang juga pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak ditahan SPRM bersama dua pengarah syarikat di Ipoh berhubung siasatan kes rasuah bernilai jutaan ringgit melibatkan kementerian itu semasa pentadbiran Pakatan Harapan.

Terdahulu, Xavier mengumumkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), sekali gus melepaskan jawatannya sebagai Naib Presiden parti itu.

Menurutnya, keputusan meninggalkan PKR kerana kecewa dengan tindakan pucuk pimpinan yang terlalu asyik membincangkan agenda Pilihanraya Umum, sepatutnya bukan menjadi keutamaan parti itu ketika ini.

Sementara itu, Xavier turut menyatakan pendiriannya sebagai Ahli Parlimen Bebas menerusi satu surat bertarikh 12 Mac 2021 kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan.

Dalam surat itu, Xavier memaklumkan beliau membuat keputusan menjadi Ahli Parlimen Bebas yang menyokong kerajaan, berkuat kuasa semalam. -Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/02/24/thinagaran-xavier-disiasat-sprm/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here