Rabies ragut dua nyawa di Sarawak

0
1

KES terbaru Rabies dilaporkan telah meragut dua nyawa di Sarawak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes Rabies pertama melibatkan seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 52 tahun.

“Beliau menafikan mempunyai sejarah digigit atau dicakar oleh anjing atau haiwan mamalia lain. Namun, beliau pernah menangkap dan membunuh seekor anjing peliharaan di kawasan rumah pekerja kilangnya pada 17 Oktober 2020 selepas anjing ini mengigit dua orang pekerja di situ.

“Bagaimanapun, bangkai anjing tersebut tidak diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sarawak untuk siasatan lanjut. Pada 31 Januari 2021, beliau telah mendapatkan rawatan dan dimasukkan ke wad di Hospital Sibu kerana mengalami gejala sakit dada, kebas di bahagian tangan kanan, muntah dan sesak nafas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Noor Hisham berkata, keadaan kesihatan lelaki itu terus merosot sehingga memerlukan bantuan alat pernafasan pada 5 Februari 2021.

“Mendiang meninggal dunia pada 8 Februari 2021 dengan punca kematian adalah disebabkan oleh jangkitan rabies.

“Diagnosa mendiang disahkan positif rabies melalui ujian makmal yang dijalankan oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 6 Februari 2021,” katanya yang turut memaklumkan bahawa KKM mengucapkan takziah kepada waris lelaki itu.

Sementara itu menurut Dr Hisham, dua pekerja yang digigit anjing tersebut telah mendapatkan rawatan awal dan kini masih dalam pemantauan susulan oleh pihak kesihatan.

Bagi kes kedua pula, Dr Hisham berkata, seorang warganegara Malaysia berumur 54 tahun, telah dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 5 Mac lalu.

“Beliau telah dirujuk ke HUS dengan gejala lemah di bahagian kaki, sakit di seluruh badan, demam, mual dan tiada selera makan. Keadaan kesihatan beliau merosot sehingga memerlukan bantuan alat pernafasan pada 7 Mac 2021.

“Berdasarkan sejarah yang diberikan, beliau pernah digigit oleh anjing peliharaannya pada 26 Disember 2020 di bahagian dada kanan semasa mengendalikan anjing tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, anjing iitu telah diambil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada hari sama lelaki itu digigit bagi tujuan dihapuskan namun tiada sampel untuk ujian rabies telah diambil.

“Mangsa juga tidak pernah mendapatkan rawatan selepas digigit oleh anjing peliharaannya. Keputusan ujian Rabies PCR ke atas sampel air liur (saliva) beliau yang telah dijalankan di UNIMAS pada 7 Mac 2021 adalah positif.

“Mendiang telah meninggal dunia di HUS pada 7 Mac 2021 dengan punca kematian adalah disebabkan oleh jangkitan rabies,” katanya.

Kata Dr Noor Hisham, kedua-dua kes ini merupakan dua kes pertama positif rabies dalam kalangan manusia di Malaysia bagi tahun 2021.

“Pertambahan dua kes baharu ini menjadikan jumlah keseluruhan kes sejak wabak rabies diisytiharkan di Sarawak pada 1 Julai 2017 adalah 33 kes dengan 31 kematian.

“Hanya terdapat dua (2) kes yang masih hidup dan kedua-duanya adalah kanak-kanak dengan sejarah mendapatkan rawatan awal,” katanya. -Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2020/11/11/1-kematian-baharu-akibat-rabies-di-sarawak/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here