Kurang kesedaran punca ibu bapa daftar lewat Sijil Kelahiran – JPN

0
2

JABATAN Pendaftaran Negara (JPN) menerima sebanyak 33,244 permohonan kes Daftar Lewat Sijil Kelahiran (DLSK) sejak 2018 hingga Februari lalu, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh.

Beliau berkata, rata-rata kes itu melibatkan kurang kesedaran ibu bapa sebaik kelahiran anak dengan membiarkannya tanpa sebarang dokumen.

“Sepatutnya menjadi kewajipan ibu bapa mendaftarkan anak yang baru dilahirkan, tidak kira anak itu hasil perkahwinan di Malaysia ataupun perkahwinan di sempadan.

“Di Kelantan pula, sebanyak 1,667 permohonan kes DLSK diterima sejak 2018 hingga tahun lepas. Permohonan lewat ini berpunca daripada perkahwinan luar negara yang tidak didaftarkan di Malaysia, penceraian, kecuaian ibu bapa dan anak tidak sah taraf,” katanya seperti dilapor Bernama.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Operasi JPN, Badrul Hisham Alias; Pengarah JPN Kelantan, Asrehan Ab Razak; dan Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kelantan, Mohamad Abd Wahab.

Mengulas lanjut, Ruslin berkata, terdapat 225 pejabat JPN di seluruh negara yang memberi kemudahan kepada ibu bapa sekiranya mempunyai masalah seperti jarak rumah yang jauh serta menghadapi masalah kewangan untuk hadir ke pejabat.

“Sekiranya ada individu atau keluarga yang mempunyai masalah kewangan boleh merujuk kepada JPN dan kami akan menghantar pasukan serta panel yang turun padang tiga atau empat bulan sekali.

“Ketua masyarakat seperti Penggawa dan Imam boleh memainkan peranan melaporkan kes seumpama ini kepada kami,” katanya.

Sementara itu, ibu tunggal, Halimah Ahamad, 46, bersyukur selepas lebih 10 tahun menanti, hasrat empat anaknya memiliki Sijil Kelahiran akhirnya tercapai.

Masalah kemiskinan dan kesukaran untuk bergerak berikutan tidak mempunyai kenderaan serta bekas suami tidak memberi kerjasama kepada keluarga selepas berpisah menyebabkan empat anaknya, Che Nor Shafikah Che Amat Mudi, 10, Che Mohamad Adam, 8, Che Nor Amiera, 6, dan Che Nur Alisha, 4, tercicir untuk mendapat Sijil Kelahiran,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here