KERAJAAN Sabah memutuskan untuk membenarkan bas ekspres beroperasi semula berkuatkuasa esok.
Bagaimanapun, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, yang juga jurucakap rasmi Covid-19 di Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, terdapat beberapa ketetapan perlu dipatuhi pengusaha.
Katanya, setiap penumpang yang melintas zon ditetapkan kerajaan negeri sebelum ini perlu mendapat kebenaran dari polis terlebih dahulu.
“Pengusaha bas hanya boleh mengambil dan menurunkan penumpang di terminal sahaja. Mereka tidak dibenarkan singgah di mana-mana perhentian termasuk restoran, manakala kapasiti bas dihadkan sebanyak 50 peratus.
“Pengusaha dan pemandu bas juga berhak untuk menghalang penumpang menaiki bas sekiranya bergejala, di samping memberi peringatan berkala mengenai pemakaian pelitup muka serta mengurangkan interaksi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, Masidi berkata, pengusaha bas ekspres juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) lain.
“Iaitu seperti pemeriksaan suhu, pendaftaran dengan menggunakan MySejahtera atau secara manual serta proses sanitasi juga ditekankan kepada pengusaha bas,” katanya. -Malaysiapost

