Yang penting kejujuran politik – Puad

0
1
KUALA LUMPUR 09 June 2015. Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi di Sidang Media menegnai isu 1MDB di Menara MARA. NSTP/Salhani Ibrahim

Nurul Huda Abhar

AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Mohd Puad Zakarshi menyatakan pendiriannya bahawa dalam kerjasama politik yang paling penting adalah kejujuran.

Menurutnya, PAS kini bermain di ‘dua kolam’ (gabungan) dalam politik semasa.

“Rupanya main dua kolam ada yang halal dan ada yang haram. Yang halal ialah yang ditandatangani secara sah.

“Menarik juga pandangan sahabat saya Ustaz Nik Abduh ini. Menurut beliau PAS memang main dua kolam. Tetapi secara sah. Maksudnya kolam kolam itu ada logo halal. Atau kolam yang disembelih,” kata beliau menerusi hantaran di laman Facebooknya, hari ini.

Mohd Puad mengulas kenyataan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang memberitahu parti tersebut selesa dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

Beliau juga memuatnaik keratan artikel bertajuk ‘Main di kolam secara sembunyi lebih baik’ yang dipercayai kenyataan daripada Nik Mohamad Abduh.

Sementara itu, Mohd Puad tidak menafikan PAS sebelum ini telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Umno melalui Piagam MN.

“Dalam masa sama PAS adalah ahli berdaftar PN. PN juga sembelihan halal pada PAS.

“Pendirian saya tetap sama. Dalam kerjasama politik, sah atau tidak, halal atau sembelih yang penting ialah kejujuran politik,” ujarnya.

Terdahulu, PAS menerusi kenyataan sebelum ini komited untuk terus memantapkan hubungan dan kerjasama tiga serangkai parti utama Melayu dan Pribumi iaitu Umno, Bersatu dan PAS.

Menurut Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata untuk itu PAS mengambil ketetapan meneruskan agenda memperkukuh perpaduan ummah yang menjadi asas kerjasama.

PAS juga menegaskan usaha memperkasa Muafakat Nasional (MN) sekali gus mempertahan Perikatan Nasional (PN) di semua peringkat.

Ia susulan daripada keputusan Umno memutuskan untuk menolak kerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu pada 19 Februari lalu.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan menghantar surat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan keputusan MKT UMNO itu.

Bagaimanapun, surat bertarikh 26 Februari itu juga menyatakan kebersamaan Umno dengan kerajaan PN boleh diteruskan hingga pembubaran Parlimen. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here