Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin meminta Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Abdul Hamid Bador supaya tidak mengambil tindakan terhadap pemberi maklumat berhubung kepincangan program pemberian vaksin di Kelantan.
Dalam satu ciapan di Twitternya, Khairy berkata dia telah memaklumkan perkara itu kepada KPN.
Khairy berkata demikian ketika menjawab pertanyaan yang memetik laporan Bernama mengenai siasatan sedang berlangsung berhubung dakwaan bahawa 200 kakitangan setiausaha negeri Kelantan telah berusaha “memotong barisan” bagi mendapatkan vaksin Covid-19 mereka.
“Saya belum mendedahkan identiti mana-mana pemberi maklumat yang telah menghantar e-mel kepada saya secara langsung.
“Sebilangan maklumat ini telah digunakan untuk membetulkan senarai janji temu yang dibuat,” kata Khairy, yang juga menteri sains, teknologi dan inovasi.
“Sejauh mana laporan polis berkenaan, proses sewajarnya harus diikuti tetapi saya telah meminta IGP untuk tidak menghukum pemberi maklumat.”
Sebelum ini, Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat pada hari Selasa memaklumkan polis akan merakam kenyataan seorang individu di Putrajaya, yang disyaki menyebarkan dakwaan itu.
Ia susulan pendedahan ahli nefrologi Hospital Selayang Dr Rafidah Abdullah melalui ciapan di Twitternya berhubung tangkap layar mesej yang mendakwa bahawa jururawat dan pekerja barisan hadapan yang disenaraikan sebagai penerima vaksin awal harus memberi laluan kepada 200 anggota dari pejabat setiausaha kerajaan negeri Kelantan.
Bagaimanapun Exco kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin telah menafikan dakwaan itu sebagai tidak benar dan menuntut Kementerian Kesihatan mengambil tindakan sekiranya ada pegawai yang menyebarkan dakwaan tersebut.
“Saya tidak mahu dilihat atau tidak boleh mengganggu kerja polis. Tetapi kerana ini isu kepentingan awam, saya mesti menjelaskan bahawa saya telah bercakap dengan IGP mengenai perkara ini untuk membebaskan pemberi maklumat,” kata Khairy lagi.- Malaysiapost
Artikel berkaitan :

