Undi 18: Dulu mahu, kenapa sekarang tak nak?

0
1

KETUA Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan mempersoalkan usaha Bersatu untuk menafikan semula hak pengundi berumur seawal 18 tahun untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Lebih pelik, Zahida berkata, Bersatu ketika pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) beria-ia untuk meminda had kelayakan umur mengundi kepada 18 tahun berbanding 21 tahun sebelum ini.

“Kita kembali ke masa silam sekejap, zaman kegelapan era PH selama 22 bulan.

“Dewan rakyat pada 16 Julai 2019 telah meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

“Hari ini, ada pemimpin berpengaruh dalam PPBM (Bersatu) mengatakan sebaliknya, seolah-olah mahu menafikan hak dan suara anak muda,” catatnya di Facebook, hari ini. 

Menurut Zahida, Umno dan Barisan Nasional (BN) telah menyokong usul dibentangkan Ketua Armada Bersatu ketika itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman supaya Dewan Rakyat meluluskan RUU berkenaan.

“RUU disokong 211 Ahli Parlimen dari kerajaan PH termasuk pembangkang pada ketika itu, 11 lagi tidak hadir.

“BN menyokong penuh RUU tersebut kerana melihat itu peluang mengangkat aspirasi anak muda seawal 18 tahun untuk menentukan siapa kerajaan yang akan membela mereka di masa hadapan.

“Soalan saya, kenapa tiba-tiba berubah nada? Sendiri yang mahu pinda, sendiri kata tidak praktikal?” katanya. 

Semalam, Yang di Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, terdapat pelbagai kekangan untuk melaksanakan dasar undi-18, walaupun selepas Dewan Rakyat RUU berkenaan.

Rais berkata, negara masih tidak bersedia untuk membenarkan pendaftaran pengundi seawal usia itu, memandangkan proses untuk mendapatkan senarai bakal pengundi usia 18 tahun turut memakan masa lama. – Malaysiapost


Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/03/11/undi-18-tahun-tak-jadi-penghinaan-terhadap-proses-demokrasi-parlimen/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here