Nurul Huda Abhar
UMNO dan PAS bersetuju untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengguris perasaan masing-masing.
Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Induk Perundingan Muafakat Nasional (MN) Rabu lalu juga bersepakat tidak melayan sebarang unsur provokasi yang boleh merenggangkan hubungan kedua-dua parti.
“Jika hendak diungkit segala permasalahan dan peristiwa lampau, sudah tentu masing-masing boleh menyelongkar 1001 cerita-cerita pahit dan perit yang dialami.
“Sebab itulah, kita mula menggerakkan agenda Penyatuan Ummah dengan lebih 800 program di peringkat bahagian dan kawasan sepanjang 18 bulan, sebelum memeterai Piagam Muafakat Nasional pada 14 September 2019,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook, hari ini.
Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menerusi kenyataan mengambil ketetapan meneruskan agenda memperkukuh perpaduan ummah yang menjadi asas kerjasama.
PAS juga menegaskan usaha memperkasa Muafakat Nasional (MN) sekali gus mempertahan Perikatan Nasional (PN) di semua peringkat.
Ia susulan keputusan Umno memutuskan untuk menolak kerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu pada 19 Februari lalu.
Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan menghantar surat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan keputusan MKT UMNO itu.
Bagaimanapun, surat bertarikh 26 Februari itu juga menyatakan kebersamaan Umno dengan kerajaan PN boleh diteruskan hingga pembubaran Parlimen. – Malaysiapost
Artikel berkaitan : https://malaysiapost.com.my/2021/03/11/tiada-abang-besar-pas-dan-umno-kekal-bermuafakat/

