Kalimah Allah: Pemuda Umno desak kerajaan tangguh menerusi Mahkamah Rayuan

0
1

PEMUDA Umno mendesak kerajaan Perikatan Nasional (PN)  merayu kepada Mahkamah Rayuan untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan kalimah Allah digunakan penganut Kristian dalam buku keagamaan mereka. 

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata tindakan itu paling awal yang mesti dilakukan kerajaan PN agar keputusan Mahkamah Tinggi ditangguhkan terlebih dahulu sehingga mahkamah yang lebih tinggi membuat keputusan muktamad.

Selain itu, beliau berkata, Pemuda Umno mendesak persidangan meja bulat antara kerajaan dengan pihak pertubuhan Islam agar dapat menyekat isu kalimah Allah digunakan penganut agama lain dalam buku keagamaan mereka. 

“Mendesak Kerajaan Pusat mengadakan sidang meja bulat sama ada secara maya atau tidak dengan pemegang-pemegang taruh seperti wakil kerajaan negeri, wakil persatuan peguam syariah dan NGO Islam bagi merangka strategi seterusnya. 

“Perlu diingat, majoriti negeri seperti Terengganu, Johor, Pahang, Kelantan dan Kedah sudahpun mempunyai enakmen tersendiri bagi sekatan pengembangan agama bukan Islam.

“Apakah keputusan Mahkamah Tinggi akan memberi kesan kepada keabsahan enakmen-enakmen tersebut?” katanya menerusi kenyataan hari ini. 

Dr Asyraf Wajdi berkata, kerajaan PN mesti menghidupkan semula Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) yang telah ditutup pada zaman Pakatan Harapan (PH)

“IKSIM terbukti berkesan dalam isu-isu ancaman pada kedaulatan Islam termasuk membina jati diri agama melalui program dan langkah strategik yang diambil.

“Ketiadaan IKSIM telah menghilangkan elemen semak dan imbang ke atas gerakan-gerakan yang mengancam akidah umat. 

“Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Kristian dibenarkan untuk menggunakan kalimah Allah adalah satu keputusan yang amat mengejutkan,” katanya. 

Dr Asyraf menegaskan, Pemuda Umno juga akan memperhalusi alasan penghakiman yang bakal dikeluarkan Mahkamah Tinggi kerana perlu dinilai sama ada keputusan itu dilihat bercanggah atau tidak dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2015 dalam kes Kementerian Dalam Negeri (KDN) melawan Roman Catholic Archbishop.

“Mahkamah tertinggi negara pada ketika itu menetapkan bahawa tindakan KDN yang mengharamkan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan akhbar The Herald (akhbar Katolik) adalah sah. 

“Malahan berdasarkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 2013 dalam kes sama, panel tiga hakim diketuai Tan Sri Apandi Ali telah membuat keputusan bahawa larangan penggunaan kalimah Allah pada penerbitan Katolik tersebut adalah bagi memelihara kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan mengelak suasana tidak harmoni dalam masyarakat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here