DAKWAAN sesetengah pihak berhubung tindakan kerajaan mendapatkan pengisytiharan darurat kerana telah hilang majoriti di Dewan Rakyat dan melanggar ordinan darurat, adalah berita palsu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata tuduhan tersebut adalah salah dan tidak benar.
“Ia (tuduhan) salah,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Putrajaya bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah bagi menjelaskan Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No 2) 2021 yang berkuat kuasa hari ini.
Menurut Takiyuddin, Yang di-Pertuan Agong telah mengisytiharkan darurat atas nasihat Jemaah Menteri, dan ia adalah muktamad dan tidak boleh dicabar di mahkamah.
Sementara itu, Takiyuddin dan Saifuddin menegaskan di bawah ordinan itu, tujuan menyebarkan berita palsu mesti dibuktikan terlebih dahulu sebelum tertuduh boleh disabit bersalah.
Saifuddin turut memberi contoh berita palsu yang boleh disabitkan, iaitu mendakwa ada individu yang mati selepas menerima vaksin Covid-19.
Ordinan berkenaan untuk mengekang berita tidak benar berkenaan wabak Covid-19 dan proklamasi darurat yang membawa kepada hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Pada 12 Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan darurat atas nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pengisytiharan dibuat bagi mengekang peningkatan kes Covid-19. – Malaysiapost
