Zahid belanja 1.5 juta dana Yayasan Akalbudi

0
1

DANA Yayasan Akalbudi berjumlah RM1.5 juta digunakan bagi pembayaran sembilan kad kredit milik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid dan isteri, serta insurans dan cukai jalan bagi 20 kenderaan.

Perkara itu diberitahu Penolong Kanan Penguasa Khairudin Kilau, 44, kepada Mahkamah Tinggi dengan menyatakan bekas Timbalan Perdana Menteri itu menggunakan dana yayasan miliknya sebanyak RM1.3 juta bagi pembayaran kad kredit beliau dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis yang mana kebanyakan perbelanjaan dibuat di luar negara.

Menurut Pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu, sebanyak RM107,509.55 pula digunakan untuk membayar insurans dan cukai jalan bagi 20 kenderaan termasuk 18 kenderaan mewah miliknya, isteri dan seorang individu lain, lapor Utusan Malaysia.

Khairudin, saksi akhir pendakwaan, telah membaca keterangan saksi dengan menyatakan semua maklumat dan pengunaan dana berjumlah RM1,469,547.36 itu diperolehi hasil siasatan terhadap penyata akaun bagi kad-kad kredit tersebut.

Dalam keterangannya, Khairudin turut menyatakan segala urusan kewangan dan aktiviti Yayasan Akalbudi adalah di bawah urus tadbir Ahmad Zahid selaku pemilik sepanjang 21 tahun penubuhannya.

Ahmad Zahid, 68, dibicarakan terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Saksi pendakwaan ke-99 itu menambah, yayasan milik Presiden Umno itu tidak pernah mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) mahupun merekodkan aktiviti dan laporan kewangan sepanjang tempoh tersebut.

Katanya, pemegang amanah lain bukan sahaja tidak tahu menahu apa-apa aktiviti y
dilaksanakan badan amal tersebut, malah penyumbang dan jumlah dana yang diberi juga tidak pernah dimaklumkan.

Khairudin juga berkata, semua maklumat itu diperoleh daripada Setiausaha Syarikat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan pemegang-pemegang amanah yayasan berkenaan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Khamis ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here