Bukan Bumiputera boleh mohon konstabel tanpa kepujian Bahasa Melayu

0
1
konstabel pdrm polis

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) kini memberi kelonggaran dalam pengambilan jawatan konstabel membabitkan bukan Bumiputera. 

Bukan Bumiputera yang layak kini boleh mengisi kekosongan jawatan itu tanpa perlu mendapat kepujian dalam subjek Bahasa Melayu peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Ramli Din berkata kelonggaran syarat itu diberi bagi permohonan jawatan konstabel Gred YA1 bagi lelaki dan wanita menerusi Pengambilan Khas Bukan Bumiputera mulai 18 Mac ini.

“Kelonggaran syarat ini sebagai galakan supaya lebih ramai rakyat Malaysia bukan Bumiputera menyertai PDRM kerana pasukan ini memerlukan khidmat mereka.

“Bagaimanapun, mereka yang terpilih perlu menduduki semula subjek Bahasa Melayu peringkat SPM dalam tempoh enam tahun mereka berkhidmat dan perlu lulus dengan kepujian.

“Sekiranya masih gagal dalam tempoh enam tahun, khidmat mereka akan ditamatkan,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Menurutnya, permohonan bagi jawatan berkenaan dibuka bermula 18 hingga 31 Mac ini dan ia perlu dibuat secara dalam talian menerusi laman web e-Pengambilan PDRM.

Beliau berkata, bukan Bumiputera yang pernah memohon sebelum ini juga boleh membuat permohonan baharu.

“Keutamaan diberi kepada pemohon bukan Bumiputera yang boleh bertutur dan menulis dalam bahasa Cina, Tamil dan bahasa ibunda lain,” katanya.

Ramli berkata, pemohon mesti berusia tidak kurang 18 tahun dan tidak lebih 28 tahun pada tarikh permohonan serta lulus SPM atau kelayakan yang diiktiraf kerajaan.

Sementara itu, beliau berkata PDRM juga akan mengadakan pengambilan khas bagi Orang Asli. 

“Jawatan yang ditawarkan adalah inspektor Gred YA13, konstabel YA1, konstabel Orang Asli Gred YP1 dan konstabel Gred YT1.

“Kita turut beri kelonggaran syarat pengambilan khas Orang Asli bagi jawatan konstabel Gred YP1 iaitu ketinggian 160 cm bagi lelaki dan 155 cm bagi wanita,” katanya. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here