SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng selesai disoal siasat selama sejam susulan kenyataannya berkaitan pelaksanaan proklamasi darurat Januari lalu.
Peguam Guan Eng, RSN Rayer berkata Ahli Parlimen Bagan itu telah memberi kerjasama sepenuhnya semasa soal siasat oleh polis.
Siasatan ke atas bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dijalankan mengikut Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan ksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, berhubung mendatangkan khianat awam.
“Kami telah memberikan kerjasama kepada polisi berhubung siasatan ke atas kenyataan Majlis Presiden Harapan pada 12 Januari,” katanya yang dipetik daripada laporan Malaysiakini, hari ini.
Rayer yang juga Ahli Parlimen Jelutong berkata, Guan Eng disoal siasat di Balai Polis Daerah Timur Laut, Pulau Pinang pagi tadi.
Rayer turut mengucapkan terima kasih kepada polis kerana menjalankan tugas mereka untuk menyiasat.
“Saya juga berharap polis akan menyiasat laporan pemimpin pembangkang Perak, Abdul Aziz Bari ke atas menteri undang-undang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong, bahawa Parlimen boleh bersidang semasa keadaan darurat,” katanya.
Pada 12 Januari lalu, Guan Eng membuat kenyataan bersama Presiden PKR Datuk Anwar Ibrahim dan Presiden Amanah Mohamad Sabu dengan menandatangani kenyataan media Pakatan Harapan (PH) yang menolak perlaksanaan proklamasi darurat.
Anwar telah merakam kenyataannya kepada polis pada 26 Februari lalu, manakala Rayer berkata Mohamad pula akan disoal siasat di Kuala Lumpur esok. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:

