Ops ekzos bising: Ramai mat motor tukar jadi ‘mat standard’

0
2

Nurul Huda Abhar

PERMINTAAN pemilik motosikal yang telah mengubahsuai ekzos, untuk kembali kepada spesifikasi asal semakin meningkat baru-baru ini.

Ini berikutan daripada perlaksanaan Operasi Khas Ekzos (bising) di seluruh negara bermula 1 Mac lalu.

Menurut seorang pemilik bengkel motosikal, Mohd Azlan Saidin, 47, mengakui permintaan untuk menukar ekzos meningkat dengan ketara sejak lima hari lalu.

“Mereka akan datang dan minta untuk tukar ekzos kepada jenis standard. Selepas selesai kerja-kerja tukar ekzos mereka akan bawa balik yang sebelum punya.

“Saya lihat mereka semua beli ekzos yang baharu. Disebabkan penguatkuasaan operasi polis sekarang tengah rancak jadi mereka tukar kepada ekzos yang bunyi perlahan sedikit,” katanya kepada Malaysiapost.

Mohd Azlan berkata, sepanjang membuka Pak Lan Customs yang terletak di Taman Industri Boltan, Batu Caves, Selangor sejak lima tahun lalu, ini kali pertama beliau melihat ramai pemilik motosikal datang ke bengkelnya untuk menukar ekzos.

Ujarnya, walaupun perkhidmatan yang disediakan di bengkel miliknya lebih kepada ubahsuai khas, tetapi beliau tetap membantu memudahkan urusan pelanggan.

“Mereka datang ke bengkel saya bawa ekzos sendiri, minta nak tukar tabung. Jadi saya kimpal sahaja. Selalu kami di bengkel ni potong ekzos dan kimpal,” katanya lagi.

Pada 5 Mac lalu, polis menyita 14 motosikal dalam Operasi Khas Bersepadu Kesalahan Bunyi Bising di Plaza Tol Mines Utara Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) arah selatan, di Serdang.

Operasi dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor memeriksa 191 motosikal membabitkan 211 penunggang.

Polis telah bertindak menyita 30 motosikal atas pelbagai kesalahan di mana 14 daripadanya adalah kesalahan mengubahsuai ekzos.

Antara pecahan saman yang dikeluarkan tiada lesen memandu (40), ubah suai ekzos (14) dan pelbagai kesalahan (47).

Sementara, JPJ pula mengeluarkan 32 saman termasuk 20 notis hadir periksa, manakala JAS mengeluarkan enam kompaun ke atas pemilik motosikal yang didapati mengeluarkan bunyi bising. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :

https://malaysiapost.com.my/2021/03/06/jspt-perak-sita-19-motosikal-ubah-suai-ekzos/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here