SEORANG anggota polis terpaksa berpaut pada bonet sebuah Perodua Alza dalam keadaan kenderaan itu bergerak sejauh kira-kira 150 meter, sebelum pemandunya dapat melepaskan diri.
Dalam kejadian mencemaskan kira-kira jam 10.30 malam tadi, seorang lagi anggota polis yang cuba membuat pemeriksaan ke atas kenderaan itu cedera apabila pemandunya melanggar motosikal dan anggota polis itu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata kejadian berlaku ketika sepasukan anggota Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Bandar Baru Bangi terserempak dengan kenderaan itu dalam keadaan mencurigakan.
Kenderaan itu diletakkan di kawasan parkir restoran McDolands, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi dengan enjin hidup.
“Anggota terlibat cuba membuat pemeriksaan dengan menyuluh ke dalam serta mengetuk cermin kenderaan yang dinaiki seorang lelaki dan seorang perempuan.
“Menyedari kehadiran polis dan selepas diarah keluar dari kenderaan, pemandu lelaki cuba melarikan diri dengan melanggar motosikal anggota polis di hadapannya.
“Anggota yang terlibat telah menggunakan segala usaha dan tindakan perlu untuk memberhentikan kenderaan tersebut namun suspek terus melarikan diri ke arah Jalan Persiaran Jaya Bandar Baru Bangi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mohd Zaid berkata, anggota polis terlibat mengalami kecederaan ringan dan motosikal yang ditunggang mengalami kerosakan.
Katanya, anggota polis dapat mengecam nombor pendaftaran kenderaan suspek, seterusnya sepasukan anggota dari Ibu Pejabar Daerah (IPD) Kajang telah digerakkan dan berjaya menahan pasangan tersebut.
“Polis telah membuat permohonan reman ke atas kedua-dua individu di Mahkamah Bandar Baru Bangi pagi ini untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 186/307/332 Kanun Keseksaan,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran atau hubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Mu’az Mazlan di talian 017-9788804. – Malaysiapost

