JIKA sebelum ini belaiu pernah dikecam kerana isu nama menu masakan, bekas personaliti televisyen popular, Maria Tunku Sabri sekali lagi mengundang kemarahan netizen kerana mengulangi perbuatan yang sama.
Maria kali ini menamakan masakannya sebagai ‘suami tembak isteri sumbat dalam tong sekali dengan sayur campur special’.
Nama tersebut dipercayai merujuk kepada satu kes jenayah membabitkan kematian ngeri seorang isteri yang dibunuh suami di Kota Tinggi, Johor baru-baru ini.
Malah, seorang tukang masak professional, Chef Deedee menyuarakan pendapat bahawa beliau sendiri kurang senang dengan tindakan Maria yang dikatakan kurang menjaga sensitiviti dan mencari publisiti murahan.
“Ambil kesempatan atas kesulitan. Perhatian kepada semua tukang masak di dunia. Jangan sesekali menggunakan nama dan tajuk resepi untuk konten anda berkaitan dengan seseorang yang mati dibunuh.
“Ini sangat biadab, tidak beretika, tidak berpelajaran dan tidak bermoral,” kata Chef Deedee menerusi hantaran Instagramnya.
Menurut Chef Deedee, seseorang itu tidak wajar menggunakan tajuk yang boleh membawa kenyataan seolah-olah menghina makanan kerana itu adalah rezeki.
“Memberi tajuk makanan ke atas kematian seseorang bukan bahan lawak. Jangan cari publisiti murahan,” ujarnya.
Semakan di laman Instagram Maria, personaliti tersebut telah menukar nama menu masakannya menjadi ‘sayur campur special sedih kes suami tembak isteri masuk dalam tong’.
Ini bukan kali pertama Maria dikecam kerana menggunakan menu masakan yang dianggap tidak sensitif.
Pada tahun lalu, bekas pengacara Jalan-Jalan Cari Makan itu dikecam netizen kerana menamakan menu masakannya sebagai ‘ikan siakap 3 rasa mati tertembak di sempadan Malaysia-Thai’.
Ia dipercayai dikaitkan dengan satu kes seorang anggota PGA yang bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis maut ditembak oleh penyeludup. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :

