KEPUTUSAN Kerajaan Perikatan Nasional (PN) melibatkan klinik dan hospital swasta membantu dalam proses vaksinasi disifatkan sebagai langkah tepat.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata namun usaha itu belum cukup kerana kerajaan masih belum memberi kelulusan kepada pihak swasta mencari dan membeli vaksin melalui saluran mereka.
“Saya tetap percaya bahawa bekalan vaksin dunia akan melebihi permintaan tidak lama lagi atas beberapa faktor yang saya sudah hurai beberapa kali sebelum ini.
“Sebab itu, pihak swasta perlu dibenarkan untuk mencari dan membeli bekalan vaksin sendiri seperti di beberapa negara lain termasuk Indonesia,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan tidak mengalami sebarang kerugian berhubung perkara itu selagi vaksin yang dicari pihak swasta diluluskan kerajaan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Takkan kita nak ragu dengan pihak hospital dan klinik swasta sebab mereka dah lama memberi suntikan vaksin-vaksin lain kepada bayi-bayi?.
“Kerajaan beli bekalan vaksin sendiri seperti dibuat selama ini manakala pihak swasta juga cuba membeli bekalan sendiri.
“Jika pihak swasta tak berjaya membeli bekalan vaksin yang diluluskan, kerajaan tak rugi apa-apa,” katanya.
Najib berkata, sekiranya usaha pihak swasta mencari bekalan vaksin ini berjaya maka proses vaksinasi negara mampu dipercepatkan dan beban ke atas pusat vaksinasi kerajaan dapat dikurangkan.
“Selain itu, kerajaan boleh pertimbangkan jika proses memberi vaksin melalui cara ‘drive-thru’ seperti dibuat di USA dan Indonesia adalah sesuai bagi negara kita,” katanya
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, sekiranya Malaysia mampu mencapai sasaran 150,000 suntikan vaksin sehari sekali pun, negara hanya akan mencapai 27.3 juta atau 80% penduduk divaksin pada Mac tahun depan untuk mencapai imuniti kelompok.
“Setelah program vaksinasi negara bermula 3 minggu dahulu, sebanyak 139,720 orang telah diberi dos pertama vaksin – atau 0.43% daripada penduduk Malaysia.
“Kadar pemberian vaksin pada ketika ini adalah 16,353 suntikan sehari. Ini adalah jauh di bawah sasaran kerajaan sebanyak 150,000 suntikan sehari.
“Itupun sebelum mengambil kira pekerja asing yang juga perlu diberi vaksin,” katanya.
Sehubungan itu, Najib mengulangi pendirian mendesak kadar vaksinasi negara dipercepatkan.
“Saya rasa ramai rakyat Malaysia tak sanggup tunggu sehingga Mac 2022 untuk negara mencapai imuniti kelompok dan bebas Covid,” katanya. -Malaysiapost
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/03/05/percepatkan-inisiatif-vaksinasi-negara-najib/

