MALAYSIA mencatatkan 1,280 kes baharu jangkitan Covid-19 hari ini, iaitu paling rendah dicatatkan untuk tahun ini.
Ia juga menyaksikan Malaysia merekodkan kes harian di bawah angka 2,000 buat hari keempat berturut-turut.
Keseluruhan kes dalam negeri kini 316,269 dengan jumlah kes aktif di seluruh negara ketika ini adalah 18,704 kes.
Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), daripada jumlah kes hari ini, sebanyak 1,278 adalah penularan tempatan manakala selebihnya kes import.
“Jumlah kes sembuh baharu adalah 2,345 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh kini 296,379 kes atau 93.71 peratus,” kata KKM.
Selangor mencatatkan kes jangkitan tertinggi iaitu 464 kes diikuti Johor (165), Sarawak (163), Pulau Pinang (143) serta Kuala Lumpur (119).
Negeri-negeri dengan kes di bawah 100 ialah Sabah (64), Negeri Sembilan (45), Terengganu (36), Perak (34), Kedah (25), Kelantan (16), Putrajaya (3), Pahang (2) dan Perlis dengan satu kes.
Katanya, sebanyak sembilan lagi kematian baharu dicatatkan menjadikan jumlah kumulatif kematian kini 1,186 kes. – Malaysiapost

