Pengurus Ikram dipercayai dibunuh

0
1

WANITA yang juga Pengurus Jabatan Advokasi Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) ditemui mati dalam keadaan leher dijerut di Taman Bangi, hari ini. 

Nik Khatijah Nik Mud, 32, dipercayai dibunuh dalam tempoh lebih 24 jam sebelum mayatnya ditemui. 

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan mayat itu pada jam 9 pagi daripada seorang lelaki yang menjumpainya. 

Menurutnya, hasil pemeriksaan awal pada mayat mendapati terdapat kesan jerut pada bahagian leher.

“Mayat dipercayai mati lebih daripada 24 jam sebelum ditemukan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Zaid, turut memohon orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi  Pegawai Penyiasat kes Asisten Superintendan Ismail Ahmad di talian 0192306107 atau menghubungi mana-mana balai polis terdekat. 

Sementara itu, memetik laporan Harian Metro, pihak Pertubuhan Ikram Malaysia mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarhamah 

“Hari ini Ikram menerima berita duka pemergian seorang kakitangannya, Almarhumah Nik Khatijah Nik Mud yang meninggal dunia di rumahnya.

“Takziah kepada seluruh keluarga Almarhumah, warga kerja Ibu Pejabat Ikram dan ahli-ahli Ikram Kajang, semoga dikurniakan kesabaran dan ketabahan atas pemergian ini,” katanya. 

Nik Khatijah adalah bekas pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang berkhidmat di Ibu Pejabat Ikram sejak 2013 sebagai eksekutif Jabatan Wanita dan kini sebagai Pengurus Jabatan Advokasi.

“Allahyarhamah seorang yang amat komited dan dedikasi dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.

“Dengan segala khidmat baktinya untuk dakwah melalui Ikram, moga rohnya dicucuri rahmat Allah SWT, diampunkan dosa-dosanya dan digolongkan dalam kalangan mukminin, amilin dan solihin serta dikurniakan syurga-Nya, amin,” katanya. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here