TIADA kerjasama politik antara DAP dan Umno pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tegas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan, berkata pendirian parti itu konsisten, namun bersedia bekerjasama dengan Umno dalam perkara membabitkan kepentingan rakyat.
“Selagi ia untuk kebaikan rakyat, kita sanggup memberi sokongan…atas tujuan tertentu berhubung isu berkaitan kepentingan dan manfaat rakyat.
“Tiada kerjasama atas dasar kepentingan parti dengan Umno,” katanya seperti dilapor Bernama hari ini.
Menurutnya, tindakan mengambil pendekatan untuk tujuan tertentu tidak bermakna akan bekerjasama dengan Umno, contohnya demi kepentingan rakyat seperti mahukan persidangan Parlimen diadakan.
Sementara itu, beliau turut menegaskan DAP tidak menyokong tindakan wakil rakyat melompat parti, walaupun ia tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Terdahulu Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim dan Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Fahmi Fadzil menyatakan tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan Umno dalam pilihan raya akan datang.
Kerjasama itu turut dinafikan Pengarah Pilihan Raya Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang menegaskan Umno setakat ini hanya akan bekerjasama dengan PAS untuk PRU15 seperti yang ditandatanganindalam Piagam Muafakat Nasional (MN). – Malaysiapost

