TENAGA buruh merekodkan prestasi pemulihan sederhana pada Januari lalu, dengan peningkatan kadar pengangguran sebanyak 4.9 peratus.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata pasaran buruh terus berdepan situasi mencabar tahun ini, berikutan peningkatan jumlah kes baharu Covid-19.
Berikutan pandemik itu, katanya, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan mulai 13 Januari 2021 di kebanyakan negeri dan dilanjutkan sehingga 4 Februari lalu, dengan hanya lima sektor ekonomi penting dibenarkan beroperasi pada fasa berkenaan.
“Aktiviti perjalanan rentas negeri dan daerah dihadkan. Keadaan ini secara tidak langsung, memberi kesan terhadap momentum pemulihan perniagaan serta seterusnya pasaran buruh.
“Kedudukan tenaga buruh pada Januari 2021 pulih sederhana digambarkan melalui peningkatan bilangan tenaga buruh pada bulan berkenaan.
“Pertambahan penduduk bekerja lebih tinggi, berbanding peningkatan bilangan yang menganggur, sekali gus menunjukkan kenaikan permintaan buruh oleh perniagaan.
“Tenaga buruh pada Januari naik 0.2 peratus dengan tambahan sebanyak 31,500 orang, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 16.02 juta orang (Disember 2020: 15.99 juta orang),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Berdasarkan perangkaan terkini Januari lalu, Mohd Uzir berkata, penyertaan tenaga buruh pula merekodkan peningkatan, iaitu kepada kadar 68.5 peratus, berbanding 68.4 peratus setakat Disember tahun lalu.
Katanya, kadar pengangguran pada Januari meningkat sedikit kepada 4.9 peratus (Disember 2020: 4.8 peratus) dengan tambahan sebanyak 9,700 orang penganggur kepada 782,500 orang (Disember 2020: 772,900 orang).
“Peningkatan bilangan penganggur yang berterusan sebahagiannya susulan daripada penelitian semula strategi perniagaan, dalam industri berkaitan pelancongan yang terdiri daripada penginapan dan perkhidmatan makanan, pengangkutan penumpang, hiburan serta aktiviti rekreasi.
“Selanjutnya, ketika PKP kedua, hanya sektor ekonomi penting dibenarkan beroperasi iaitu pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan edaran, serta perladangan dan komoditi.
“30 peratus pekerja dalam kumpulan pengurusan dibenarkan berada di pejabat, manakala bagi kakitangan kumpulan sokongan tertakluk kepada keperluan.
“Keadaan ini menyebabkan bilangan penduduk bekerja terus meningkat dengan pertambahan sejumlah 21,900 orang kepada 15.24 juta orang pada Januari 2021.
“Nisbah guna tenaga kepada penduduk yang menunjukkan kemampuan ekonomi untuk mewujudkan guna tenaga meningkat kepada 65.2 peratus (Disember 2020: 65.1%),” katanya.
Mengikut sektor ekonomi, Mohd Uzir berkata, bilangan penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan terus meningkat setiap bulan, terutama menerusi aktiviti perdagangan borong dan runcit, kesihatan kemanusiaan dan kerja sosial serta pendidikan.
Sementara itu, kataya, guna tenaga dalam industri berkaitan pelancongan kekal mencatatkan pola menurun, sekali gus menggambarkan industri berkenaan terjejas secara berterusan disebabkan pandemik Covid-19.
“Sektor pembuatan mengekalkan pertumbuhan positif guna tenaga bagi bulan ketiga, manakala sektor pembinaan mencatatkan peningkatan. Bagaimanapun, guna tenaga dalam sektor pertanian serta perlombongan dan pengkuarian terus mencatatkan pola penurunan sejak tujuh bulan lalu.
“Kategori pekerja yang merangkumi 77.7 peratus daripada penduduk bekerja, meningkat 0.3 peratus (+40,800 orang) kepada 11.85 juta orang (Disember 2020: 11.81 juta orang).
“Kategori bekerja sendiri yang meliputi 15.7 peratus pula terus menurun bagi empat bulan berturut-turut kepada 2.39 juta orang pada Januari 2021 (Disember 2020: 2.40 juta orang). -Malaysiapost
Artikel berkaitan:

