Perhimpunan Agung Umno tentukan kerjasama dengan Bersatu – Shahidan

0
2

UMNO Perlis tidak menongkah arus dalam meneruskan kerjasama dengan Bersatu, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Beliau sebaliknya berkata, Umno belum membuat keputusan mengenai kerjasama dengan Bersatu, termasuk memutuskan hubungan dengan parti itu kerana ia akan ditentukan Perhimpunan Agung Umno.

“Bila Umno putuskan (ketetapan menamatkan kerjasama dengan Bersatu)… Umno kata serah pada Perhimpunan Agung.

“Dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi sebelum ini surat dikeluarkan (menamatkan kerjasama dengan Bersatu pada PRU15)… surat itu bukan dikeluarkan oleh Umno,” katanya menerusi siaran langsung di Facebooknya malam tadi.

Beliau menjawab pertanyaan pengikut Facebooknya adakah beliau menongkah arus dengan mahu meneruskan kerjasama bersama Bersatu, di sebalik keputusan parti yang mahu menamatkannya.

Menjawab satu lagi pertanyaan kenapa Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menolak kerjasama dengan Bersatu, Shahidan berkata keputusan menolak atau meneruskan kerjasama adalah ketika Perhimpunan Agung Umno nanti.

“Yang buat keputusan untuk tolak (Bersatu) atau tidak masa Perhimpunan Agung nanti. Ada negeri tolak, ada negeri kata kaji semula, Perlis 100 peratus mahu kerjasama kerana kita tolak perpecahan, tapi menggalakkan perpaduan,” katanya.

Mengenai sama ada Umno Perlis sanggup menyerahkan kerusi kepada Bersatu pada PRU15, Ahli Parlimen Arau itu berkata ia ditentukan oleh parti-parti yang bekerjasama melalui jawatan kuasa perundingan.

Sementara itu, Shahidan yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PNBBC) di Dewan Rakyat mempertahankan kenyataannya berhubung Umno Perlis akan meneruskan kerjasama dengan Bersatu PRU15.

“Walaupun Barisan Nasional (BN) menang PRU lalu di Perlis, tapi PRU akan datang tak boleh bertanding sendirian.

“Di Perlis kita akan lawan Pakatan Harapan (PH). Kita boleh menang 100 peratus dengan syarat ada kerjasama iaitu BN + Perikatan Nasional (PN), walaupun tak bersama tapi mesti ada kerjasama,” katanya.

Beliau berkata, suasana politik ketika ini semakin dinamik dan berubah-ubah dari semasa ke semasa, maka tiada masalah untuk Umno bekerjasama dengan Bersatu walaupun pernah bermusuh pada PRU lalu.

“Kenapa kita nak tolak Bersatu? Sekarang Bersatu ada lapan menteri, BN ada 11 menteri, kita patut tanya menteri kita (jika ada masalah berkaitan kerajaan),” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here