PADA 20 Mac ini, seluruh dunia akan mengalami fenomena siang dan malam yang hampir sama panjang, iaitu masing-masing 12 jam.
Menurut Planetarium Negara, fenomena itu akan berlaku bermula jam 5.37 petang waktu tempatan di mana matahari akan betul-betul berada di atas garisan Khatulistiwa selama 24 jam.
Ketika itu, penduduk di kawasan yang terletak di atas garisan Khatulistiwa, berpeluang menyaksikan fenomena tengah hari tanpa bayang kerana ia berada tegak di atas kepala ketika itu.
Bagi rakyat Malaysia dan negara-negara yang berada berhampiran garisan Khatulistiwa, kita mungkin telah biasa dengan siang dan malam yang hampir sama panjang.
Berikut adalah perkongsian oleh Planetarium Negara:
“Pada Sabtu, 20 Mac 2021 mulai jam 05:37 petang, matahari akan berada betul-betul di atas garisan Khatulistiwa untuk tempoh selama satu hari. Sepanjang tempoh tersebut, seluruh dunia akan mengalami masa siang dan malam yang sama panjang iaitu, 12 jam siang dan 12 jam malam.
“Bagi kawasan-kawasan yang betul-betul berada di atas garisan Khatulistiwa seperti di Pontianak, Indonesia dan Quito, Ecuador, akan berlaku waktu tengah hari “tanpa bayang” kerana matahari akan berada betul-betul tegak di atas kepala pada waktu tengahari di kawasan-kawasan tersebut semasa berlakunya ekuinoks.” – Malaysiapost

