VIRUS Demam Babi Afrika (ASF) yang dikesan di Pitas, Sabah kini menular ke beberapa daerah lain di negeri berkenaan.
Virus itu bukan hanya menjangkiti babi peliharaan, tetapi turut membabitkan babi hutan liar.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, virus itu dikesan di kalangan babi domestik di Kota Marudu dan Pitas serta babi hutan di Lahad Datu, Sandakan, Kinabatangan, Beluran dan Telupid.
“Ini termasuk kes kematian seekor babi hutan di sebuah resort di Kinabatangan yang tular di media sosial minggu lalu.
“Bagaimanapun, ladang babi komersial di Tawau, Sandakan, Tenom, Papar, Tuaran dan Penampang yang membekalkan produk babi di Sabah masih bebas daripada virus ASF,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikatan, Sabah berkata, kawasan berkenaan harus dipastikan bebas daripada ASF supaya pengeluaran daging babi tempatan tidak terjejas.
“Walaupun ASF tidak menjangkiti manusia, ia boleh mengganggu ekonomi serta kesejahteraan masyarakat.
“Oleh itu, penting bagi kita untuk mengawal serta membasmi penyakit ini,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan akan membuat pengisytiharan wabak ASF dengan segera jika ada daerah dikesan dijangkiti virus itu mengikut Enakmen Haiwan 2015.
“Kita akan menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Krisis Penyakit ASF yang dipengerusikan oleh Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (JPVS).
“Jawatankuasa ini akan dianggotai oleh Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, pasukan keselamatan, wakil dari Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, wakil dari Pejabat Peguam Besar Negeri dan agensi lain yang berkaitan.
Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 110 babi dari sembilan kampung yang dikesan mempunyai virus itu sudah dimusnahkan. – Malaysiapost

