Anwar dakwa Annuar terdesak

0
2

PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kenyataan bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa kononnya Umno kini berada di bawah pengaruh beliau sebagai tindakan terdesak. 

Menurut Anwar, tindakan Ahli Parlimen Ketereh itu dapat dibaca kerana terpaksa bermain politik untuk menjaga kedudukannya sebagai menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Annuar Musa ini saya tidak tahu dia ini mewakili siapa dan maklumat dari mana, dia nampak terdesak. Dia nak jaga jawatan dia, dia jagalah, tetapi jangan sentuh dan ganggu orang lain.

“Saya ingat politik dia itu hanya nak jaga jawatan menteri, dia tak peduli parti dia. Dia tidak peduli cakap benar atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Retreat Kepimpinan Keadilan Negeri Sembilan di Port Dickson malam tadi.

Hadir sama, Pengerusi PKR Negeri Sembilan yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Sebelum ini Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan mendakwa kenyataan media Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merupakan bukti bahawa Umno kini dikuasai Pakatan Harapan (PH).

Ia susulan surat PKR dan BN memohon perkenan Yang Di Pertuan Agong menitahkan sidang Parlimen diadakan segera didakwa mempunyai kandungan sama. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here