“Masa dalam tahanan dia hentam betul-betul, bila keluar dia DM” – Da’i Syed

0
1

SETELAH dua bulan menyepi, pendakwah selebriti, Da’i Syed kini mahu kembali bangun dari sisi gelap dan teruskan karier seni yang tertangguh sebelum ini.

Pemilik nama Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful, 26, mengakui ujian yang dihadapi mematangkan lagi dirinya.

“Apa yang boleh saya katakan, kebangkitan ini tidak mudah tetapi Tuhan memberikan saya semangat ini.

“Saya sebagai orang yang pernah diuji, kembali bangkit dan berharap orang yang berhadapan dengan ujian sama turut bangkit meneruskan kehidupan,” katanya.

Menurut Syed, ujian yang berlaku salah satu pengajaran yang boleh dilihatnya adalah erti persahabatan sebenar.

Katanya, ada segelintir rakan yang mengecam habis-habisan semasa dirinya sedang diuji, namun berubah setelah dia bebas dari reman.

“Ada yang bila saya dalam tahanan dia hentam saya betul-betul, apabila saya keluar, dia DM (mesej di Instagram) saya.

“Itu perkara biasa, tapi saya hanya memandang positif terhadap perkara tersebut. Maknanya, kawan adalah kawan. Sahabat adalah sahabat,” katanya lagi.

Syed membuat kenyataan itu semasa majlis pelancaran single terbaharunya, Ya Habib dan produk wangian yang berlangsung secara atas talian baru-baru ini.

Single Ya Habib dihasilkan oleh Adam Armin, Yusuff Khan, Ryan Deedat dan Adly Kiddy, manakala lirik merupakan tulisan Syed ketika berada dalam tahanan hujung tahun lalu.

“Saya tulis lirik lagu ini ketika berada dalam pusat tahanan selama 20 hari.

“Ia berkaitan dengan perjalanan hidup saya, selain pengalaman yang dilalui sepanjang dalam tahanan itu,” ujarnya.

Syed sebelum ini hangat diperkatakan apabila didakwa atas tuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii dan mencabul kehormatan di Mahkamah Petaling Jaya dan di Mahkamah Shah Alam pula menghadapi tuduhan merogol seorang wanita.

Bagaimanapun, dia dibebaskan dengan ikat jamin RM35,000 di Mahkamah Shah Alam dan Mahkamah Petaling Jaya pada 15 Disember tahun lalu.

Terkini, sebutan kes di Mahkamah Shah Alam akan bersambung pada 16 Mac dan di Mahkamah Petaling Jaya pada 19 Mac ini. – Malaysiapost

.
Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/02/08/16-mac-sebutan-semula-kes-rogol-dai-syed/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here